Kerajaan Pantau Rapi Jaminan Tenaga Negara Susulan Konflik Berterusan Di Asia Barat
KUCHING: Konflik yang masih berlarutan di Asia Barat walaupun terdapat perjanjian damai terus menjadi ancaman kepada rantaian bekalan global, sekali gus berpotensi meningkatkan kos barangan keperluan serta memberi tekanan kepada ekonomi negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, situasi semasa masih belum menunjukkan kepastian apabila serangan masih berlaku walaupun usaha perdamaian telah dipersetujui.
Menurut beliau, gangguan terhadap laluan perkapalan antarabangsa akan memberi kesan langsung kepada penghantaran pelbagai barangan penting, bukan sahaja minyak dan gas, malah bekalan asas lain seperti bahan kimia, baja serta keperluan industri yang menjadi komponen utama rantaian bekalan global.
“Apabila serangan berlaku, ia pasti menjejaskan aliran kapal yang membawa bekalan keperluan setiap negara. Bukan hanya minyak dan gas, tetapi juga pelbagai keperluan asas lain yang diperlukan di seluruh dunia.
“Keadaan ini akan meningkatkan ketegangan dan kos pengurusan serta pengeluaran barangan keperluan yang digunakan dalam sektor perubatan, perkhidmatan, industri dan sebagainya,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penangguhan Acara Regata Sejijak, di sini pada Ahad.
Menurut Menteri Peralihan Tenaga dan Tarnsfomasi Air itu lagi, kerajaan terus memantau perkembangan geopolitik dunia dengan teliti dan berharap semua negara menghormati perjanjian yang telah dicapai serta kembali ke meja rundingan bagi mencari penyelesaian yang mampu menjamin kestabilan global.
Mengulas mengenai bekalan tenaga negara, Datuk Amar Fadillah memberi jaminan bahawa Malaysia masih berada dalam keadaan terkawal hasil rundingan yang dilaksanakan kerajaan dengan pelbagai pihak.
“Alhamdulillah, setakat ini keadaan di Malaysia masih terkawal dengan peranan PETRONAS serta usaha kerajaan melalui rundingan yang dilaksanakan Perdana Menteri di pelbagai peringkat, bekalan tenaga negara masih terjamin sehingga kini,” katanya lagi.
Bagaimanapun, beliau mengakui ketidaktentuan harga minyak dan gas di pasaran dunia kekal menjadi cabaran utama kerana turun naik harga komoditi itu akan memberi kesan kepada kedudukan kewangan negara.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan akan terus merancang strategi yang mampu memastikan kemampanan kewangan negara terus terpelihara, di samping memastikan kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan. -EDISI UKAS