![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh usaha membangunkan ekosistem kecerdasan buatan (AI) yang inklusif menerusi penglibatan aktif sektor industri dalam merangka hala tuju pembangunan teknologi tersebut di negeri ini.
Usaha itu dizahirkan menerusi sesi libat urus anjuran Sarawak Artificial Intelligence Centre Sdn. Bhd. (SAIC) dengan kerjasama Sarawak Business Federation (SBF) dan Sarawak Civil Service Digitalisation Unit (SCSDU) yang menghimpunkan pemimpin perniagaan serta wakil industri di sini, baru-baru ini.
Sesi tersebut menjadi platform bagi kerajaan dan pemain industri membincangkan peluang, cabaran serta implikasi penggunaan AI dalam pelbagai sektor ekonomi, di samping memperkenalkan ‘Sarawak AI Blueprint Kick-Off Journey’ yang dijadual berlangsung pada 27 Julai ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SAIC, Profesor Dr Patrick Then berkata, penglibatan industri amat penting untuk memahami keperluan industri, mengenal pasti cabaran penggunaan dan memastikan inisiatif AI masa depan kekal praktikal, relevan dan berimpak.
“AI kini sedang mengubah landskap ekonomi dan industri di seluruh dunia, justeru kerjasama erat antara kerajaan, industri dan ahli akademik menjadi faktor utama dalam merealisasikan potensi teknologi tersebut.
“‘Sarawak AI Blueprint Kick-Off Journey’ merupakan platform penting untuk melibatkan pelbagai pihak berkepentingan serta mendapatkan pandangan yang dapat membentuk hala tuju AI di Sarawak,” katanya semasa berucap pada sesi tersebut.
Sementara itu, Presiden SBF, Dato Jonathan Chai berkata, komuniti perniagaan perlu bersedia memanfaatkan teknologi AI bagi meningkatkan produktiviti dan kekal berdaya saing dalam ekonomi digital.
Beliau berkata, SBF komited menyokong usaha meningkatkan kesedaran mengenai AI dengan menguar-uarkan program tersebut kepada persatuan ahli dan rangkaian perniagaan di seluruh Sarawak.
“Kami menggalakkan ahli SBF menyertai ‘Sarawak AI Blueprint Kick-Off Journey’ dan menyumbang pandangan dalam membentuk hala tuju AI Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah SCSDU, Adrian Chung berkata, kerjasama berterusan antara kerajaan dan industri amat penting bagi memastikan pelaksanaan AI dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.
"Dengan memperkukuhkan kerjasama antara sektor awam dan swasta, kita dapat membangunkan dasar serta inisiatif yang praktikal, relevan dan menyokong aspirasi transformasi digital Sarawak,” katanya.
Sesi tersebut turut memberi peluang kepada wakil industri berkongsi pandangan mengenai tahap kesiapsiagaan AI, pembangunan tenaga kerja, cabaran transformasi digital serta bentuk sokongan yang diperlukan bagi mempercepat penggunaan teknologi tersebut dalam kalangan perniagaan.
Melalui kerjasama SAIC, SCSDU dan SBF, ‘Sarawak AI Blueprint Kick-Off Journey’ dijangka menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh kesedaran, kerjasama strategik serta pembangunan ekosistem AI yang mampan dan inklusif di Sarawak.-EDISI UKAS