TYT Sarawak Terima Menghadap Premier, Dipersembah Cadangan Pembubaran DUN
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkenan menerima menghadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Astana Negeri Sarawak pada Jumaat.
Dalam pertemuan itu, Premier Sarawak telah mempersembahkan cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi mendapatkan perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri Sarawak.
Pertemuan berkenaan merupakan sebahagian daripada proses perlembagaan yang perlu dilaksanakan sebelum pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN-13).
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali.
Dalam pada itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menzahirkan harapan agar segala urusan berkaitan proses pilihan raya dapat dilaksanakan dengan lancar, aman dan teratur, berlandaskan prinsip demokrasi serta kedaulatan undang-undang.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Sarawak supaya terus memelihara keharmonian, perpaduan dan kestabilan negeri sepanjang berlangsungnya proses demokrasi berkenaan.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak juga mengingatkan semua pihak agar menghormati proses demokrasi serta melaksanakan tanggungjawab masing-masing secara tertib dan berhemah.
Pada jam 3.30 petang Jumaat, Premier Sarawak telah mengumumkan pembubaran DUN Sarawak berkuat kuasa 26 Oktober 2026 bagi memberi laluan kepada PRN-13.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh-tarikh penting PRN-13 kelak.-EDISI UKAS