Sungai Tunoh Berperanan Penting Dalam Kehidupan Masyarakat Hulu Rajang
HULU RAJANG: Sungai terus memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat Kapit, khususnya sebagai laluan perhubungan utama sebelum pembangunan jaringan jalan raya menghubungkan kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Digital Malaysia merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong, berkata kepentingan sungai kepada penduduk setempat menjadikan usaha memelihara kebersihan dan kelestarian sumber air perlu diberikan perhatian.
Beliau turut menjelaskan bahawa kawasan Sungai Tunoh dikenal pasti sebagai kawasan pembangunan daerah yang menjadi tumpuan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada penduduk setempat, termasuk perancangan pembangunan rumah panjang yang lebih moden bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat pada masa hadapan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemuliharaan dan Pemeliharaan Sungai Tunoh di Rumah Ajan, Nanga Apau, Sungai Melinau, Mujong, pada Jumaat.
Sementara itu, Pengarah Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Ir. Anita Ainan, menegaskan bahawa pemeliharaan sumber air merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama kerajaan, agensi berkaitan dan masyarakat setempat.
Beliau turut mengingatkan bahawa pencemaran, pembuangan sampah, hakisan tebing sungai dan pemendapan kelodak boleh menjejaskan kualiti air serta keseimbangan ekosistem.
Beliau menyeru masyarakat supaya menjaga kebersihan sungai dan melaporkan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan sumber air.
Program anjuran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kapit itu diadakan sempena Ekspedisi Sumber Air Negara (EKSAN) Kali Ke-8 Tahun 2026 dan disertai kira-kira 200 peserta, termasuk pemimpin masyarakat, penduduk setempat serta wakil agensi kerajaan.
Turut hadir, Ketua Jabatan JPS Kapit Inja Hellegers Achong, wakil Pejabat Daerah Kapit Thomas Geoffrey Kendawang, Ketua Lembaga Sungai-Sungai Sarawak Bahagian Kapit Carol Bungan Leo serta Tuai Rumah Ajan.-EDISI UKAS