Pesara Guru Kekal Berbakti, Pengalaman Terus Warnai Dunia Pendidikan
BINTANGOR: Pengalaman dan ilmu pesara guru terus menjadi aset penting dalam memperkukuh mutu pendidikan serta memberi manfaat kepada masyarakat, meskipun mereka telah menamatkan perkhidmatan rasmi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, sumbangan bekas pendidik, khususnya yang pernah berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman, wajar terus dihargai kerana pengalaman mereka mampu menjadi panduan kepada generasi pendidik seterusnya.
Menurutnya, Persatuan Pesara Guru Sarawak (PPGS) memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan ahli, mengeratkan hubungan sesama bekas pendidik serta menyediakan ruang untuk mereka terus menyumbang kepada komuniti.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara pesara guru di Meradong, Sarikei, Julau, Matu dan Daro bagi memperkukuh perpaduan serta memastikan kebajikan ahli sentiasa terpelihara.
“Saya berharap PPGS terus memainkan peranan dalam menyatukan pesara guru di kawasan berkenaan agar hubungan silaturahim dan kebajikan ahli sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi wakilnya, Ley Chee Hua, pada Program Ramah Mesra bersama Persatuan Pesara Guru Sarawak di Pejabat Pendidikan Daerah Meradong, di sini, pada Jumaat.
Pada majlis itu, Datuk Ding turut menyumbangkan RM3,000 bagi menyokong usaha penubuhan dan perkembangan PPGS di daerah berkenaan.- EDISI UKAS