Graduasi, Anugerah Kecemerlangan SMK Agama Igan Hargai Pencapaian Pelajar
IGAN: Seramai 118 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Igan diraikan menerusi Majlis Graduasi dan Penyampaian Anugerah Kecemerlangan sekolah itu pada Jumaat sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik dan usaha mereka dalam pendidikan.
Daripada jumlah itu, seramai 95 pelajar merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala 23 lagi ialah pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, merakamkan ucapan tahniah kepada pelajar cemerlang serta penghargaan kepada guru dan ibu bapa atas bimbingan dan sokongan berterusan.
Beliau mengingatkan para pelajar supaya menjadikan kejayaan yang dicapai sebagai motivasi untuk terus berusaha dan mengembangkan potensi diri.
“Jadikan kejayaan hari ini sebagai dorongan untuk melangkah lebih jauh. Teruskan berusaha dengan penuh keyakinan kerana setiap pelajar mempunyai potensi untuk mencipta kecemerlangan,” katanya semasa berucap.
Beliau turut menyeru calon SPM dan STPM agar mengekalkan disiplin, terus fokus serta membuat persediaan rapi bagi menghadapi peperiksaan demi mencapai keputusan yang membanggakan. - EDISI UKAS