TYT Sarawak Terima Kunjungan Hormat Panglima Tentera Darat
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman di Astana Negeri Sarawak pada Isnin.
Kunjungan hormat itu merupakan yang pertama oleh Jeneral Tan Sri Azhan kepada Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi sejak beliau dilantik sebagai Panglima Tentera Darat pada 1 Januari 2026.
Dalam pertemuan tersebut, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi, diberi taklimat mengenai perkembangan projek pembangunan Tentera Darat Malaysia di Sarawak, termasuk pelaksanaan Projek 1 Division Malaysian Infantry – Defence Package (1DMI-DP): Border Patrol Communication & Support Equipment yang bertujuan memperkukuh keupayaan komunikasi dan sokongan operasi rondaan di kawasan sempadan.
Turut disentuh ialah pelaksanaan inisiatif Angkatan Masa Hadapan (AMH) yang melibatkan ketumbukan Tentera Darat di Sarawak bagi memperkasakan kesiapsiagaan dan keupayaan operasi angkatan.
Hadir sama mengiringi Jeneral Tan Sri Azhan ialah Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Mohd Sobirin Mohd Yusof, Pengerusi Jemaah Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) Darat, Puan Sri Noor Ainy Mohd Ali serta Pengerusi BAKAT 1 Divisyen, Noor Hamiza Suhami. -EDISI UKAS