Jabatan Hutan Sarawak Meterai Lima Kerjasama Strategik
KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) memeterai lima Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) bersama rakan strategik bagi memperkukuh kerjasama dalam pengurusan hutan, penyelidikan, pemuliharaan biodiversiti serta pembangunan sektor perhutanan secara mampan.
Majlis pemeteraian dokumen itu disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sempena Majlis Perasmian Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-21, 2026 pada Isnin.
MoU pertama dimeterai antara JHS dan Jabatan Perhutanan Sabah bagi memperkukuh kerjasama dalam pengurusan kebakaran hutan.
Dokumen tersebut ditandatangani Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Zulkifli Suara.
MoU kedua melibatkan JHS dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi memperbaharui kerjasama penyelidikan spesies kayu keras untuk menambah baik Standard Reka Bentuk Kayu Malaysia. UNIMAS diwakili Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit.
Melalui MoU ketiga, JHS menjalin kerjasama dengan CRAUN Research Sdn. Bhd. dalam penyelidikan kultur tisu spesies pokok hutan serta pembangunan ladang hutan industri. Syarikat itu diwakili Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Bala anak Jamel.
Sementara itu, MoU keempat dimeterai bersama Tulen International Sdn. Bhd. bagi pembangunan tapak semaian hutan untuk pembiakan mampan bahan tanaman pokok tempatan berkualiti tinggi. Syarikat tersebut diwakili Pengarah dan Ketua Perhutanan, Zakaria Hamzah serta Pengarah, Farid Wahid.
Pada masa sama, JHS turut memeterai MoA bersama Sarawak Energy Berhad menerusi anak syarikatnya, SEB Power Sdn. Bhd. bagi melaksanakan komponen flora di bawah program Wildlife Monitoring and Rescue (WiMoR) untuk Projek Hidroelektrik Baleh. SEB Power Sdn. Bhd. diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Ir. Bunyak Lunyong.
Pemeteraian lima dokumen kerjasama strategik itu mencerminkan komitmen berterusan FDS bersama rakan industri, institusi penyelidikan dan agensi berkaitan dalam memperkukuh pemuliharaan biodiversiti, penyelidikan saintifik, pengurusan kebakaran hutan serta pembangunan sektor perhutanan secara mampan demi kelestarian sumber hutan Sarawak. -EDISI UKAS