Promosi Sarawak ke Pasaran Indonesia Diperkukuh Melalui Program Familiarisasi ITC
KUCHING: Usaha memperkukuhkan promosi Sarawak sebagai destinasi pelancongan pilihan di pasaran Indonesia diperkasakan menerusi Program Familiarisasi (FAM Trip) selama tiga hari dua malam yang menghimpunkan delegasi ejen pelancongan, wakil media dan pempengaruh media sosial dari negara itu.
Program yang berlangsung dari 10 hingga 12 Julai itu dianjurkan oleh Inter-Continental Travel Centre (ITC) dengan kerjasama Tourism Malaysia dan Sarawak Tourism Board bagi memberi pendedahan secara langsung mengenai produk pelancongan Sarawak, sekali gus membuka peluang kerjasama dalam memasarkan negeri ini kepada pelancong Indonesia.
Sepanjang program, peserta dibawa mengunjungi beberapa lokasi tarikan utama di Kuching termasuk mengikuti lawatan bandar, pelayaran menyusuri Sungai Sarawak serta mengunjungi Kampung Budaya Sarawak bagi mendalami keunikan budaya, warisan dan cara hidup masyarakat pelbagai etnik di negeri ini.
Delegasi turut menikmati pengalaman gastronomi tempatan menerusi hidangan makanan laut di Top Spot dan sajian tradisional di The Lamin, selain berpeluang membeli produk ikonik Sarawak seperti kek lapis dan lada hitam.
Manakala, program makan malam turut menjadi platform jaringan industri antara peserta dengan wakil industri pelancongan tempatan bagi mengukuhkan kerjasama serta meneroka peluang baharu.
Program itu dijangka menyumbang kepada pembangunan pakej pelancongan baharu, liputan media dan penghasilan kandungan digital yang dapat meningkatkan lagi daya tarikan Sarawak dalam pasaran Indonesia.-EDISI UKAS