Penubuhan Biro Wanita Pacu Pemerkasaan Ekonomi Golongan Wanita
BETONG: Penubuhan Biro Wanita perlu dijadikan platform untuk memperkasa golongan wanita dalam bidang keusahawanan sekali gus membantu meningkatkan ekonomi keluarga dan komuniti.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata kaum wanita perlu berani menceburi bidang perniagaan serta memanfaatkan pelbagai bantuan, latihan dan program keusahawanan yang disediakan kerajaan menerusi kementerian serta agensi berkaitan.
Menurut beliau, kejayaan dalam dunia perniagaan memerlukan kesungguhan, disiplin dan kesediaan menghadapi pelbagai cabaran sebelum mampu menikmati keuntungan yang diimpikan.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Program Merarau dan Pelancaran Biro Wanita Rumah Panjang Melayu Ili di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya memberi perhatian serius terhadap pendidikan anak-anak kerana mereka merupakan aset dan bakal pemimpin masa depan.
Katanya, peluang pendidikan tinggi percuma yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan mampu memenuhi keperluan pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
Datuk Gerald turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM6,000 bagi membantu biro berkenaan melaksanakan pelbagai aktiviti dan program yang memberi manfaat kepada ahlinya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata peranan wanita pada masa kini jauh lebih besar daripada sekadar menguruskan rumah tangga, malah menjadi rakan strategik dalam pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat.
Beliau menggalakkan golongan wanita merebut peluang latihan, bantuan kewangan serta program keusahawanan yang disediakan kerajaan, di samping memanfaatkan platform digital bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.
Pada majlis sama, beliau mengumumkan geran sebanyak RM5,000 kepada Biro Wanita Rumah Panjang Melayu Ili sebagai sokongan terhadap pelaksanaan program tersebut.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh, Tuai Rumah Panjang Melayu Ili, TR Nicholas Laja serta tetamu lain.-EDISI UKAS