RM32.87 Juta Bina Jalan Baharu, 3,653 Penduduk Kedup Bakal Nikmati Akses Lebih Baik
SERIAN: Seramai 3,653 penduduk di tujuh kampung dalam kawasan Kedup bakal menikmati kemudahan jalan perhubungan desa yang lebih selesa dan selamat menerusi Projek Pembinaan Jalan Perhubungan Desa Kampung Mentung Mubuk–Kampung Mayang Kawan bernilai RM32.87 juta.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata projek itu merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Sarawak memperkukuh pembangunan luar bandar menerusi GKCDA.
“GKCDA peruntukkan sebanyak RM1.5 bilion, dengan setiap 10 kawasan DUN menerima RM150 juta bagi melaksanakan projek yang memberi manfaat kepada rakyat,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah projek berkenaan di sini, pada Isnin.
Tambah Dato Sri Roland, projek itu akan memberi manfaat kepada penduduk kampung serta tiga sekolah rendah, selain memendekkan jarak perjalanan dari Kampung Mayang Kawan ke Kampung Mentung Mubuk daripada 28.4 kilometer kepada hanya 8.7 kilometer atau kira-kira 10 minit.-EDISI UKAS