SACS Perkukuh Tadbir Urus, Sokong Agenda Pembangunan Mampan Sarawak
KUCHING: Pembangunan pesat Sarawak perlu disokong oleh sistem tadbir urus yang kukuh bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan dilaksanakan secara telus, beretika dan mampan.
Sehubungan itu, usaha membangunkan Strategi Anti Rasuah Sarawak (SACS) dilihat sebagai langkah strategik dan tepat pada masanya dalam memperkukuh budaya integriti, ketelusan serta akauntabiliti merentas semua sektor di negeri ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, SACS merupakan strategi komprehensif pertama Sarawak dalam memerangi rasuah, selari dengan aspirasi pembangunan negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Menurut beliau, pembangunan ekonomi tanpa nilai integriti yang kukuh berisiko meningkatkan ketirisan, salah guna kuasa dan rasuah, sekali gus boleh menjejaskan keyakinan rakyat, pelabur serta rakan strategik.
“Justeru, SACS bukan sekadar dokumen dasar, tetapi merupakan komitmen bersama untuk memastikan setiap ringgit wang awam diurus dengan amanah, setiap keputusan dibuat secara telus dan setiap projek memberi manfaat sebenar kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sesi Libat Urus Bersama Agensi bagi Pembangunan SACS yang berlangsung di sini pada Isnin.
Datuk Dr Juanda menjelaskan, pembangunan SACS turut melengkapi Strategi Anti Rasuah Kebangsaan (NACS) 2024–2028 serta sejajar dengan prinsip Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) dalam memperkukuh tadbir urus yang baik, ketelusan dan penyertaan awam.
Beliau berkata, usaha membudayakan integriti bukan hanya tanggungjawab unit tertentu dalam sesebuah organisasi, sebaliknya memerlukan komitmen menyeluruh melibatkan kerajaan, sektor swasta, institusi akademik, pertubuhan masyarakat sivil serta rakyat.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada UNODC atas sokongan dan kerjasama dalam membantu Kerajaan Sarawak membangunkan strategi tersebut, termasuk sumbangan kepakaran antarabangsa dalam memperkayakan perbincangan sepanjang bengkel berlangsung.
Beliau turut berharap sesi tersebut menjadi platform konstruktif untuk semua pihak berkongsi pandangan, mengenal pasti cabaran serta merangka cadangan bernas ke arah menghasilkan strategi yang inklusif dan berkesan.
“Saya yakin melalui komitmen bersama, kita mampu membangunkan strategi yang bukan sahaja menangani risiko rasuah, malah memperkukuh keyakinan rakyat, meningkatkan kecemerlangan institusi dan menyokong aspirasi Sarawak sebagai negeri maju, mampan serta berteraskan integriti,” ujarnya.-EDISI UKAS