Jambatan Batang Lupar 2 Bakal Jadi Mercu Tanda Baharu Sri Aman
SIMANGGANG: Jambatan Batang Lupar 2 yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung Ogos ini diyakini bakal menjadi mercu tanda baharu Sri Aman sekali gus memperkukuh jaringan perhubungan, merancakkan pertumbuhan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pembangunan di kawasan tersebut.
Ketua Masyarakat Komuniti Cina Sri Aman, Temenggong Kueh Aik Seng berkata penyambungan jambatan berkenaan merupakan satu pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur Sarawak serta menjadi lambang kemajuan yang membanggakan rakyat negeri ini.
“Apabila siap kelak, kemudahan tersebut akan membuka lebih banyak peluang kepada penduduk di Sri Aman dan Betong khususnya dalam aspek pertumbuhan ekonomi, pelaburan, pelancongan, perdagangan serta pembangunan kawasan sekitarnya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Temenggong Kueh, dengan siapnya laluan itu nanti, orang ramai dari Kuching akan mempunyai satu lagi pilihan perjalanan ke Sri Aman, Betong dan seterusnya ke Sibu, di samping meningkatkan keselesaan serta keselamatan pengguna jalan raya.
Tambah beliau, Jambatan Batang Lupar 2 yang merupakan jambatan kabel tertinggi di Malaysia juga bakal menjadi ikon baharu Sri Aman dan memberi impak besar kepada pembangunan kawasan, khususnya di Sri Aman dan Betong.
Katanya lagi, pembangunan infrastruktur seperti Jambatan Batang Lupar 2 bukan sekadar menghubungkan dua destinasi, malah membuka peluang dan mempercepatkan lagi proses pembangunan yang dapat meningkatkan taraf hidup penduduk Sri Aman.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas komitmen berterusan dalam membangunkan negeri ini.
Beliau menegaskan, projek Jambatan Batang Lupar 2 merupakan satu lagi bukti bahawa Kerajaan Sarawak terus komited melaksanakan pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk, khususnya di kawasan luar bandar Sri Aman.-EDISI UKAS