Pendekatan Turun Padang Terus Jadi Keutamaan ADUN Meradong Dekati Rakyat
BINTANGOR: Pendekatan turun padang akan terus menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing bagi memastikan setiap suara rakyat didengari serta keperluan pembangunan di kawasan luar bandar diberikan perhatian sewajarnya.
Beliau berkata, pendekatan tersebut penting bagi mengeratkan hubungan dengan masyarakat di samping membolehkan kerajaan memahami sendiri pandangan, keperluan serta perkembangan semasa penduduk setempat.
Sehubungan itu, beliau telah mengadakan lawatan ke beberapa rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong, iaitu Rumah Jonathan Ugek di Sungai Janting dan Rumah Peria di Ulu Binatang, sebelum menghadiri Sambutan Gawai Antu di Rumah Panjang Siang, Sungai Meradong, pada Ahad.
Ketibaan beliau disambut mesra oleh tuai rumah, ketua masyarakat, penduduk rumah panjang serta para tetamu yang hadir dalam suasana penuh kemeriahan dan semangat kekeluargaan.
Semasa menghadiri sambutan Gawai Antu tersebut, Datuk Ding turut merakamkan penghargaan kepada komuniti setempat kerana terus memelihara adat, budaya dan warisan masyarakat Iban yang menjadi identiti serta kebanggaan Sarawak.
Beliau berharap tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun itu akan terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda agar kekal relevan sebagai warisan budaya yang memperkukuh jati diri serta menjadi lambang perpaduan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan komitmen untuk terus bekerjasama dengan pemimpin masyarakat dalam memperkukuh pembangunan luar bandar, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memastikan kawasan DUN N.46 Meradong terus menikmati pembangunan yang mampan demi manfaat seluruh komuniti.-EDISI UKAS