ADUN Bukit Assek Seru Rakyat Kibar Bendera Sempena Hari Sarawak 22 Julai
SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek mengajak seluruh masyarakat, terutamanya generasi muda di negeri ini untuk mengibarkan bendera Sarawak dengan penuh rasa bangga sempena sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai ini.
Beliau berkata, tindakan tersebut bukan sahaja sebagai tanda sokongan, malah menjadi platform untuk menghargai kepelbagaian, budaya serta nilai unik yang membentuk identiti negeri ini.
"Saya menggalakkan semua orang, terutamanya generasi muda kita, untuk mengibarkan bendera Sarawak dengan penuh bangga dan mengambil bahagian dalam sambutan Hari Sarawak.
"Marilah kita meraikan warisan kita dengan rasa bangga dan menghargai kepelbagaian, budaya serta nilai yang menjadikan Sarawak benar-benar unik," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2025 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut mengenai sambutan Hari Sarawak, Chieng menyifatkan ia sebagai detik bermakna untuk semua pihak mengimbau kembali perjalanan yang telah dilalui selain memahami dan menghargai sejarah bumi kenyalangan itu.
Kata beliau, sambutan tersebut juga menjadi ruang untuk memperbaharui komitmen bersama bagi membina Sarawak yang lebih kuat, inklusif dan makmur.
"Sambil kita menyambut hari istimewa ini, marilah kita terus menegakkan semangat 'Segulai Sejalai', bergerak maju bersama-sama tanpa mengira perbezaan, saling menghormati antara satu sama lain, dan berusaha secara kolektif demi masa depan yang lebih baik," ujarnya.
Pada majlis tersebut, Chieng menyampaikan Anugerah Insentif Kecemerlangan STPM kepada 38 pelajar cemerlang dari SMK Methodist yang mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.00 dan ke atas.
Majlis tersebut menyaksikan peruntukan insentif keseluruhan berjumlah RM10,800 diagihkan kepada para penerima yang terlibat.-EDISI UKAS