SMeC 2026 Tampil Format Baharu, Perkasa Kemahiran Pengamal Media
KUCHING: Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026 tampil dengan format baharu apabila memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran pengamal media menerusi siri bengkel berkaitan kecerdasan buatan (AI), videografi, fotografi dan penyuntingan digital.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, berbeza dengan penganjuran sebelum ini, persidangan tahun ini hanya berlangsung selama setengah hari sebelum diteruskan dengan beberapa siri bengkel media.
“Format persidangan media kali ini agak berubah kerana kita ingin mengadakan bengkel yang akan disusuli dengan dua bengkel media pada minggu-minggu berikutnya di mana masa dan tarikhnya akan ditetapkan kemudian tetapi saya boleh katakan antara tempat untuk bengkel media ini adalah di Centex dan juga Tegas Digital Village,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026 di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, bengkel yang akan diadakan di CENTEXS dan Tegas Digital Village itu terbuka secara percuma kepada wartawan, stringer, pencipta kandungan serta pempengaruh bagi meningkatkan kemahiran dan memperkukuh jaringan dalam industri media.
“Apa yang ingin kita bawakan menerusi bengkel ini ialah kita sedar bahawa bukan semua wartawan, pengamal media, pemberita mahupun stringer mempunyai latar belakang atau kelulusan dalam bidang komunikasi massa.
Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada beberapa persatuan media, mereka memerlukan bantuan untuk meningkatkan kemahiran, khususnya dalam kalangan stringer,” tambah beliau.
Tambah Datuk Abdullah, SMeC 2026 turut menganjurkan Karnival Sukan Media di Kuching, Sibu serta Miri atau Bintulu mengikut kesesuaian.
Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026 akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 16 Julai ini.
Manakala majlis makan malam Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Peringkat Sarawak 2026 dijangka dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, diserikan dengan persembahan Datuk Ramli Sarip serta penyampaian 11 Anugerah Apresiasi Khas.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan dan Timbalan Pengarah UKAS ialah Mohamed Faizal Shah Ali.-EDISI UKAS