TOBC 4.0 Labuh Tirai, Himpun 23 Etnik Dalam & Luar Negara
MIRI: ‘Taste of Borneo Cultural Carnival’ (TOBC) 4.0 melabuhkan tirainya selepas berlangsung selama 12 hari dengan menghimpunkan pelbagai komuniti etnik dari dalam dan luar negara, sekali gus memperkukuh kedudukan Miri sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf antarabangsa.
Majlis penangguhan festival itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, di Tapak TOBC, tempat letak kereta Pasaraya Boulevard, di sini, pada Ahad.
Dalam ucapannya, beliau menyifatkan TOBC 4.0 sebagai platform yang berjaya menyatukan masyarakat berbilang kaum, budaya dan latar belakang dalam suasana penuh hormat, aman serta harmoni yang menjadi identiti unik Sarawak.
Menurut beliau, sepanjang penganjurannya, Miri menjadi medan pertemuan pelbagai budaya dengan penglibatan kumpulan kebudayaan dari Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam, Indonesia dan China yang mempamerkan keindahan warisan masing-masing.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, guru serta semua pihak yang memainkan peranan dalam membimbing dan menyokong penyertaan golongan muda, sekali gus memastikan warisan budaya terus dipelihara.
Tambah beliau, kekuatan sebenar Sarawak terletak pada semangat’ Unity in Diversity’ yang diamalkan melalui nilai saling menghormati antara kaum, dan bukan sekadar bertoleransi.
Katanya, masyarakat Sarawak menerima serta menghormati perbezaan agama, bangsa dan budaya sebagai satu kekuatan yang perlu terus dipelihara demi mengekalkan keamanan dan keharmonian negeri.
Beliau turut memuji perkembangan TOBC yang semakin mendapat sambutan sejak diperkenalkan pada 2017, dengan penyertaan 23 persatuan etnik pada edisi kali ini.
Menurutnya, TOBC 4.0 turut mencatat pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi penyertaan persatuan etnik terbanyak dalam perarakan kebudayaan melibatkan 39 kumpulan iaitu 32 dari Sarawak dan tujuh dari China.
Selain persembahan kebudayaan, sambutan menggalakkan daripada orang ramai turut memberi limpahan manfaat kepada para usahawan dan peniaga yang menyertai lebih 160 gerai sepanjang festival berlangsung.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Cina Sarawak (SCA), Pejabat Residen Bahagian Miri, Majlis Bandaraya Miri, semua persatuan etnik, penaja, sukarelawan, pihak media serta pasukan keselamatan yang memastikan kelancaran penganjuran festival tersebut.
Majlis turut dihadiri Residen Bahagian Miri, Galong Luang, Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, penasihat TOBC, Ting Pang Soon, ahli jawatankuasa penganjur serta wakil persatuan etnik dan delegasi antarabangsa.-EDISI UKAS