ASSAR Umum Dividen 6.5 Sen Seunit, Antara Tertinggi Di Malaysia
KUCHING: Amanah Saham Sarawak (ASSAR) mengumumkan pengagihan dividen sebanyak 6.5 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir Jun 2026 dengan peningkatan 8.3 peratus berbanding 6.0 sen seunit yang diberikan bagi tahun kewangan 2025 dan 2024.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kadar dividen 6.5 sen seunit ini adalah yang tertinggi di Malaysia selain daripada dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Pengagihan yang secara keseluruhannya berjumlah RM34.35 juta ini merangkumi pengagihan interim sebanyak 3.0 sen seunit yang telah dilaksanakan pada 16 Februari lalu.
“Manakala baki pengagihan sebanyak 3.5 sen seunit akan dibuat sebelum penghujung Julai ini untuk disalurkan kepada 57,926 pemegang unit ASSAR berdasarkan baki pegangan unit mereka pada 30 Jun 2026,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Dividen ASSAR Bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2026 di Hikmah Exchange Event Centre, di sini, pada Isnin.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, ASSAR turut merekodkan pendapatan boleh agih sebanyak RM39.65 juta, sekali gus menyediakan lebihan pendapatan sebanyak RM20.54 juta sebagai rizab selepas mengambil kira peruntukan RM19.11 juta bagi agihan dividen seterusnya.
Menurutnya, pencapaian itu membolehkan rizab pendapatan ASSAR meningkat sebanyak 71.3 peratus, daripada RM11.99 juta pada penghujung tahun kewangan 2025 kepada RM20.54 juta pada tahun ini.
Justeru, Premier Sarawak berharap prestasi tersebut akan terus menyemarakkan minat masyarakat Bumiputera Sarawak, khususnya golongan muda, untuk menjadikan ASSAR sebagai instrumen pelaburan pilihan.
“ASSAR kekal sebagai instrumen pelaburan yang selamat dan berisiko rendah kerana disokong oleh mekanisme jaminan harga minimum RM1.00 seunit,” tegas beliau.
Hadir sama, Datuk Patinggi Tan Sri Leonard Linggi Tun Jugah, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Pengerusi Kumpulan Syarikat Permodalan ASSAR Dato Sri Wahab Dolah, ahli-ahli Lembaga Permodalan ASSAR, Kumpulan Pengurusan Tertinggi Kumpulan Syarikat Permodalan ASSAR serta dif kehormat lain. -EDISI UKAS