ASSAR 2 Dicadang, Buka Peluang Pelaburan Kepada Rakyat Sarawak Bukan Bumiputera
KUCHING: Cadangan penubuhan Amanah Saham Sarawak (ASSAR) 2 berpotensi membuka peluang kepada rakyat Sarawak bukan Bumiputera untuk turut menyertai ASSAR sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan penyertaan rakyat dalam pelaburan negeri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, cadangan tersebut selaras dengan perkembangan ekonomi Sarawak yang semakin pesat dan bertujuan memperluaskan portfolio pelaburan agar dapat memberikan pulangan yang lebih baik kepada para pelabur.
“Mungkin kita perlu mengembangkan portfolio pelaburan kerana Jika Amanah Saham Bumiputera (ASB) mempunyai ASB 1 dan ASB 2, mungkin kita juga boleh mewujudkan ASSAR 1 dan ASSAR 2.
“Melalui pendekatan ini, peluang pelaburan boleh diperluaskan kepada bukan Bumiputera untuk menyertai tabung amanah, selaras dengan perkembangan ekonomi Sarawak yang semakin pesat dan keadaan ekonomi yang begitu positif,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pengumuman Dividen ASSAR Bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2026 di Hikmah Exchange Event Centre, di sini, pada Isnin.
Tambahnya, pendekatan tersebut juga boleh memanfaatkan platform digital seperti S Pay Global bagi menggalakkan budaya menabung dan melabur dalam kalangan rakyat Sarawak.
Menurutnya, pendekatan bersifat inklusif itu diyakini mampu membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Sarawak untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
Ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut, Premier Sarawak memberitahu, beliau bersama Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi ASSAR meneliti cadangan memperkenalkan ASSAR 2 dengan melihat apa yang telah dilaksanakan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi ASB 2.
“Ini kerana asas kita ialah inklusiviti, bermakna kita akan mempunyai dua saluran sumber dana yang boleh dilaburkan dalam ekonomi Sarawak yang kini berkembang dengan begitu baik.
“Dengan cara ini, anak-anak Sarawak bukan Bumiputera juga berpeluang untuk turut sama melabur tetapi cadangan ini tertakluk kepada penelitian dan semakan oleh Lembaga Pengarah terlebih dahulu sebelum diputuskan kaedah pelaksanaannya,” jelasnya.
Mengulas kemungkinan ASSAR melabur dalam projek-projek mega Sarawak, Datuk Patinggi Abang Zohari menyatakan, perkembangan ekonomi negeri termasuk pembangunan pelabuhan laut dalam, lapangan terbang antarabangsa, pengambilalihan Pelabuhan Bintulu serta pembangunan Pelabuhan Miri membuka lebih banyak peluang pelaburan.
Katanya, ASSAR berpotensi bekerjasama dengan bank saudagar (Merchant Bank) dan bank pelaburan bagi membentuk satu entiti yang dapat menerbitkan bon pembiayaan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam pembangunan negeri.-EDISI UKAS