Semai Cinta Sarawak, Rakyat Diseru Hargai Sejarah dan Perpaduan
MIRI: Rakyat Sarawak diseru agar terus mempertahankan perpaduan, menghargai sejarah negeri serta menyokong agenda pembangunan Kerajaan Sarawak bagi memastikan negeri ini terus maju dan mencapai status wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Seruan itu disampaikan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin ketika merasmikan Pertandingan Mewarna ‘2026 I Love Sarawak’ sempena Sambutan Hari Sarawak di Permy Mall, pada Ahad.
Beliau berkata, generasi muda perlu memahami sejarah Sarawak termasuk 22 Julai 1963 sebagai tarikh pemerintahan sendiri serta kedudukan Sarawak sebagai salah satu rakan pengasas pembentukan Malaysia.
Menurut beliau, pertandingan mewarna bertemakan ‘I Love Sarawak’ merupakan platform terbaik untuk menyemai semangat cintakan negeri dan memperkenalkan sejarah Sarawak kepada kanak-kanak sejak usia muda.
Tambahnya, Sarawak kini semakin dihormati hasil dasar pembangunan yang mengutamakan kepentingan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Katanya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan Kerajaan Sarawak termasuk pendidikan tinggi percuma di institusi milik kerajaan negeri bagi program yang diluluskan, bantuan kepada pelajar, bantuan kewangan kepada bayi yang layak serta pelbagai bantuan kebajikan.
Beliau berkata, kedudukan kewangan negeri yang semakin kukuh turut membolehkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan berskala besar untuk manfaat rakyat.
Menurutnya, sehingga kini sebanyak 21 jambatan mega telah dibina menggunakan dana Kerajaan Sarawak, manakala projek pembinaan jalan Miri-Mulu dijangka menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan dan pembangunan kawasan pedalaman.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus mengekalkan perpaduan, kestabilan politik serta mempertahankan pendekatan ‘Cara Sarawak’ yang menekankan keharmonian dan kerjasama antara semua kaum.-EDISI UKAS