EATOF International Art Camp and Exhibition 2026 Perkasa Kesenian Sarawak Peringkat Antarabangsa
MIRI: Program Neighbours in Heart, Friendship in Arts 2.0 – EATOF International Art Camp and Exhibition 2026 menjadi platform memperkukuh hubungan persahabatan antarabangsa menerusi seni, sekali gus mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan budaya dan industri kreatif di peringkat antarabangsa.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, penyertaan delegasi serta artis dari Republik Rakyat China, Republik Korea, Mongolia, Filipina dan Vietnam membuktikan seni mampu menyatukan masyarakat merentasi sempadan, bahasa dan budaya.
Menurut beliau, program tersebut merupakan kesinambungan daripada pameran sulung Neighbours in Heart, Friendship in Art yang berlangsung di Muzium Budaya Borneo, Kuching pada 20 Jun 2025 hasil kerjasama antara Sarawak dan Brunei Darussalam.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Rasmi Neighbours in Heart, Friendship in Arts 2.0 – EATOF International Art Camp and Exhibition 2026 di Imperial Hotel Miri pada Ahad.
Katanya, inisiatif yang bermula sebagai kerjasama dua hala kini berkembang menjadi kolaborasi antarabangsa menerusi platform East Asia Inter-Regional Tourism Federation (EATOF), sekali gus membuka ruang lebih luas kepada pertukaran budaya dan kerjasama kreatif.
Beliau berkata, program berkenaan bukan sekadar mempamerkan karya seni, malah memberi peluang kepada para peserta untuk berkarya bersama, bertukar idea, berkongsi pengalaman serta memahami budaya antara satu sama lain.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan Miri sebagai lokasi yang sesuai menjadi tuan rumah program tersebut kerana menawarkan kepelbagaian tarikan semula jadi, warisan budaya dan layanan mesra yang mencerminkan keunikan Sarawak.
Sepanjang program berlangsung, para peserta dijadual melawat Taman Negara Niah yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO selain berkunjung ke rumah panjang tradisional bagi mengenali budaya serta kehidupan masyarakat pribumi Sarawak.
Beliau turut menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dalam menyokong pembangunan sektor pelancongan, pemuliharaan warisan, inisiatif kebudayaan dan industri kreatif sebagai antara tonggak pembangunan mampan negeri.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Persatuan Pelukis Sarawak yang telah menyumbang kepada pembangunan seni visual di Sarawak selama lebih empat dekad serta semua pihak yang menjayakan penganjuran program antarabangsa tersebut.-EDISI UKAS