Sebauh Power Boat Race 2026 tarik penyertaan dari Sarawak, Brunei
SEBAUH: Sebauh Power Boat Race 2026 yang berlangsung sempena Pesta Sebauh 2026 berjaya menarik penyertaan pasukan perlumbaan bot laju dari seluruh Sarawak serta tiga pasukan dari Brunei, sekali gus menyemarakkan sambutan pesta dan merancakkan aktiviti pelancongan serta ekonomi setempat.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom telah menyempurnakan pelepasan (flag off) tiga acara akhir iaitu kategori 18HP Tunnel, 30HP 2 Piston Tunnel dan 5HP Terbuka di Sungai Kemena, Sebauh pada Ahad.
Pertandingan yang berlangsung selama dua hari bermula 11 hingga 12 Julai itu menyaksikan penyertaan tiga pasukan dari Brunei, iaitu Black Mamba Racing Team, Man Darwisy Racing Team dan ST Racing Team.
Bagi kategori 18HP Tunnel, Queen Angrybird muncul juara, diikuti Sri Entabai Racing Team di tempat kedua dan Ketam SSRT di tempat ketiga.
Kategori 30HP 2 Piston Tunnel pula dimenangi HRSpeed, manakala Ghart dan Black Mamba Racing Team masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Sementara itu, kategori 5HP Terbuka menyaksikan Kupang.com muncul juara, diikuti CERT di tempat kedua dan AMRT di tempat ketiga.
Pada majlis sama, Dato Sri Dr. Stephen Rundi turut menyampaikan piala serta hadiah wang tunai kepada para pemenang bagi tiga kategori akhir sesi pagi.
Bagi sesi akhir sebelah petang, kategori 30HP 3 Piston Tunnel dimenangi Layang-Layang, diikuti Team Viper dan Power Booster Racing Team.
Dalam kategori 40HP 3 Piston/50HP 3 Piston Tunnel pula, NRT muncul juara, diikuti Layang-Layang di tempat kedua dan Athena Racing Team di tempat ketiga.
Salah satu kelainan Sebauh Power Boat Race ialah penganjuran kategori 15HP Longboat Fiber Tempatan (Tertutup) yang mengetengahkan penggunaan bot fiber tempatan.
Kategori tersebut dimenangi Ambai Lalai, manakala Seri Peladang dan Sujan Ngerantar masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti, Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat, Pegawai Daerah Sebauh, Thaddeus Ling serta Penolong Pegawai Daerah Sebauh, Frances Sherri Lia Jilan.-EDISI UKAS