Sokongan Padu Rakyat Pemangkin Agenda Pembangunan Sarawak
MIRI: Sokongan padu dan kepercayaan rakyat menjadi pemangkin kepada usaha Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan agenda pembangunan di seluruh negeri khususnya luar bandar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, sokongan tersebut membantu kerajaan membawa pembangunan yang inklusif dan mampan.
“Sokongan berterusan rakyat terhadap dasar serta agenda pembangunan kerajaan amat dihargai.
"Justeru, saya akan terus komited untuk memperjuangkan keperluan rakyat serta memastikan lebih banyak pembangunan dan kemudahan dapat dinikmati oleh masyarakat di kawasan Mulu,” katanya semasa berucap pada Majlis Hari Keluarga Lio Ulu dan Lio Hilir di Miri pada Sabtu.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat di kawasan Lio atas sokongan dan kepercayaan yang berterusan terhadap dasar serta agenda pembangunan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak.
Dalam pada itu, wakil rakyat Mulu itu berkata program seperti Hari Keluarga Lio Ulu dan Lio Hilir dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat serta menjadi platform memperkukuhkan semangat perpaduan, kerjasama dan saling menghormati.
Datuk Gerawat turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada jawatankuasa penganjur atas kejayaan menganjurkan program tersebut dan berharap semangat muafakat dan kekeluargaan terus berkekalan demi kesejahteraan bersama.
Program turut dimeriahkan dengan acara sukan antaranya pertandingan lari dalam guni, menyumpit belon, tarik tali dan sesi karaoke.-EDISI UKAS