KUCHING: Kerajaan Sarawak belum memikirkan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat, sebaliknya terus memberi tumpuan kepada usaha pembangunan serta memastikan rakyat negeri ini menikmati manfaat daripada pertumbuhan ekonomi semasa.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, fokus beliau ketika ini adalah bagaimana untuk memberi manfaat kepada rakyat Sarawak agar mereka dapat bersama-sama dalam arus pembangunan negeri.
"Saya tiada memikirkan mengenai pilihan raya kerana saya lebih memikirkan cara untuk memberi duit kepada rakyat Sarawak agar rakyat dapat bersama-sama dalam pembangunan kita yang rancak ini.
"Jadi, fikiran saya tidak masuk pilihan raya dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Dividen Amanah Saham Sarawak (ASSAR) di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini, pada Isnin.
Mengulas sekiranya terdapat pihak tertentu yang memberi tekanan kepada Sarawak untuk mengadakan PRN, Premier Sarawak menegaskan perkara itu tidak akan mempengaruhi pendirian Sarawak agar pembangunan negeri dapat berjalan lancar.
Tambahnya, pentadbiran kerajaan negeri tidak tergesa-gesa untuk membubarkan DUN Sarawak memandangkan tempoh matang adalah pada Februari 2027.
Menjawab soalan lanjut sama ada tempoh pilihan raya semakin hampir, beliau mengulas ringkas, keputusan hanya dibuat setelah tiba masanya.
“Bulan Dua kelaklah (Februari 2027), tunggu bulan dua nanti, kalau ada, adalah, kalau tiada, tiadalah,” ujarnya ringkas. -EDISI UKAS
"Tunggu bulan Februari. Kalau ada, adalah. Kalau tiada, tiadalah," katanya.
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir