Sarawak Sasar Jadi Model Global Ekonomi Hijau Berteraskan Hutan, Sains dan Inovasi
KUCHING: Sarawak menyasarkan untuk muncul sebagai model global dalam pembangunan ekonomi hijau dengan memanfaatkan kekayaan sumber hutan, biodiversiti dan penyelidikan saintifik sebagai pemacu pertumbuhan mampan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendekatan itu bertujuan mengimbangi pemuliharaan alam sekitar dengan pembangunan ekonomi menerusi penerapan inovasi, teknologi serta penyelidikan berimpak tinggi.
Menurut beliau, Sarawak kini mengubah paradigma pengurusan hutan daripada bergantung kepada hasil pembalakan kepada penerokaan sumber ekonomi baharu yang berasaskan penyelidikan dan inovasi.
"Kita perlu mencari nilai baharu daripada hutan tanpa memusnahkan ekosistem. Biodiversiti yang dimiliki Sarawak berpotensi menjadi sumber ubat-ubatan, inovasi serta ekonomi masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-21 2026 pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak turut memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepatkan penyelidikan biodiversiti, sekali gus memperluaskan potensi penemuan baharu dalam bidang sains, bioteknologi dan perubatan.
Menyentuh perdagangan karbon, beliau berkata Sarawak berada pada kedudukan strategik kerana memiliki kawasan hutan yang luas sebagai penyerap karbon semula jadi, sekali gus menyokong aspirasi pelepasan sifar bersih di samping mewujudkan sumber pendapatan baharu kepada negeri.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang pelaksanaan cukai karbon di peringkat Persekutuan perlu mengambil kira hak negeri sebagai pemilik sumber hutan dan aset semula jadi yang menyumbang kepada penyerapan karbon, selain memastikan pembahagian hasil dilaksanakan secara adil.
Beliau turut menekankan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amat penting dalam pengurusan sumber asli memandangkan hutan, tanah serta aktiviti Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) berada di bawah bidang kuasa negeri.
Mengakhiri ucapannya, beliau menggesa lebih ramai golongan muda menceburi bidang sains, teknologi dan penyelidikan bagi memperkukuh agenda ekonomi hijau Sarawak, sambil menjadikan usaha pemuliharaan seperti Bukit Lima Nature Reserve di Sibu sebagai contoh terbaik keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar yang mampu menjadi rujukan di peringkat antarabangsa.
Turut hadir Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi, Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datu Abang Ahmad Abang Morni, Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad, Ketua Konservator Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Zulkifli Suara, Ketua Delegasi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Muhamad Abdullah serta Felo Penyelidik Pusat Penyelidikan Geopark, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo. -EDISI UKAS