Anak Luar Bandar Tidak Harus Ketinggalan, PRO-DR Buka Laluan Pendidikan & Kerjaya
TATAU: Program Project of Dreams Realized (PRO-DR) Roadshow Siri Ke-11 Tahun 2026 menjadi platform penting dalam membuka peluang pendidikan, latihan kemahiran dan kerjaya kepada pelajar, khususnya di kawasan luar bandar.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, penganjuran program oleh Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) itu membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak memastikan tiada anak negeri yang tercicir daripada arus pembangunan.
“Kita mahu memastikan tiada anak Sarawak yang tercicir daripada arus pembangunan. Setiap anak, tanpa mengira sama ada berada di bandar atau luar bandar, mesti diberi peluang yang sama untuk mengakses pendidikan, latihan kemahiran dan kerjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan PRO-DR Roadshow Siri Ke-11 Tahun 2026 di Dewan Terbuka SMK Tatau pada Isnin.
Tambah beliau, Sarawak kini berkembang pesat dalam pelbagai sektor termasuk ekonomi digital, teknologi maju, tenaga boleh diperbaharui, pembuatan bernilai tinggi dan pertanian moden, sekali gus memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Sarawak melalui Unit Pembangunan dan Pengurusan Sumber Manusia (HRDMU) terus meneliti keperluan tenaga kerja negeri supaya selari dengan pembangunan ekonomi, selain memberi penekanan terhadap pendidikan TVET serta bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau turut memaklumkan bahawa tahun 2026 menjadi detik penting apabila Kerajaan Sarawak mula melaksanakan inisiatif pendidikan tinggi percuma di institusi pengajian tinggi milik negeri untuk anak Sarawak yang layak, sebagai bukti komitmen kerajaan memperluaskan akses kepada pendidikan.
Dalam pada itu, beliau menggesa para pelajar memanfaatkan peluang sepanjang program berkenaan dengan mendapatkan maklumat mengenai laluan pendidikan, bantuan kewangan dan peluang kerjaya, selain mengenali potensi diri bagi merancang masa depan.
Beliau turut menyeru ibu bapa, guru serta pemimpin masyarakat agar terus memainkan peranan membimbing generasi muda supaya berani meneroka peluang baharu dan meningkatkan kemahiran selaras keperluan masa hadapan.
Program anjuran TEGAS itu melibatkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam dari SMK Tatau, SMK Sebauh, SJKC Chung Hua Tatau serta SK Tatau. Roadshow berkenaan melibatkan 10 kawasan terpilih di seluruh Sarawak bermula 6 Julai lalu, dengan penyertaan pelbagai institusi pendidikan seperti OUM, CENTEXS, i-CATS University, ADTEC, Sarawak Skills, Kolej Laila Taib, UiTM dan ABIM yang membuka kaunter pameran serta khidmat nasihat kepada pelajar.-EDISI UKAS