Integriti Asas Tadbir Urus Cemerlang, Perkukuh Keyakinan Rakyat Terhadap Kerajaan
BINTULU: Integriti perlu terus diperkasakan sebagai asas tadbir urus yang baik bagi melahirkan perkhidmatan awam yang telus, berakauntabiliti dan berprestasi tinggi, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan.
Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti berkata, setiap penjawat awam dan pemimpin Masyarakat (KMKK) perlu menjadikan integriti sebagai prinsip utama dalam melaksanakan amanah, membuat keputusan dan mengurus pembangunan demi kepentingan rakyat.
"Integriti bukan sahaja tentang tidak mengambil wang, tetapi juga memastikan setiap keputusan dibuat secara adil, telus dan demi kepentingan masyarakat," tegas beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Sambutan Hari Integriti Pentadbiran Bahagian Bintulu pada Isnin.
Beliau menegaskan bahawa pengurusan kewangan, pelaksanaan projek pembangunan serta pentadbiran di peringkat komuniti hendaklah sentiasa berpandukan prinsip tadbir urus yang baik dengan mengelakkan konflik kepentingan serta memastikan setiap keputusan dibuat berasaskan keperluan sebenar rakyat.
Dalam memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi, Datu Nyurak turut menyeru seluruh warga pentadbiran mengamalkan "Revisit, Rethink, Recharge" (3R) dalam refleksi terhadap cara bekerja, mengenal pasti kelemahan serta melaksanakan penambahbaikan secara berterusan bagi memperkukuh budaya integriti dalam organisasi.
Menurut beliau, pelaksanaan kerangka 3R perlu disokong oleh penghayatan nilai utama, iaitu fokus kepada pelanggan, berorientasikan hasil, kerja berpasukan, kompetensi, rasa tanggungjawab, prihatin dan empati serta integriti sebagai nilai teras dalam membentuk perkhidmatan awam yang cemerlang.
Beliau berkata penjawat awam bukan sahaja perlu menyampaikan perkhidmatan yang memenuhi jangkaan rakyat, malah berusaha memberikan pengalaman perkhidmatan yang berkualiti, profesional dan berintegriti sehingga mampu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pentadbiran kerajaan.
Mengakhiri ucapannya, beliau berharap sambutan Hari Integriti menjadi wadah untuk seluruh warga pentadbiran terus memperkukuh budaya integriti, mengamalkan tadbir urus yang baik serta membudayakan penambahbaikan berterusan agar perkhidmatan awam Sarawak kekal dinamik, berprestasi tinggi dan berupaya merealisasikan aspirasi PCDS 2030 demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkey,Penguasa Kanan Glenn Lores, Ketua Penolong Pengarah SPRM Bintulu, Penguasa Muhammad Najib Mohd Yassin, Pegawai Daerah Sebauh, Thaddeus Ling, Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong serta Penolong Pegawai Daerah Bintulu, Suzana Indiat.-EDISI UKAS