Dua Projek RTP Bakal Perkasa Infrastruktur Di SMK Lundu, SMK Sematan
LUNDU: Dua projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Opar bakal dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu dan SMK Sematan bagi memperkukuh infrastruktur pendidikan serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif.
Dua projek pembangunan pendidikan di bawah RTP DUN N1 Opar melibatkan Projek Naiktaraf Dewan Makan SMK Lundu bernilai RM150,000 dan Projek Naiktaraf Gelanggang Permainan SMK Sematan bernilai RM100,000 yang bakal dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang berkata, pelaksanaan projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, kondusif dan selamat kepada warga sekolah.
“Pembangunan infrastruktur pendidikan tidak seharusnya dilihat sebagai projek bersifat fizikal semata-mata, sebaliknya merupakan pelaburan jangka panjang bagi melahirkan generasi yang berkualiti serta mampu menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Tapak Projek RTP di SMK Lundu dan SMK Sematan, di sini, pada Selasa.
Tambahnya, kerja-kerja naik taraf di SMK Lundu akan diteruskan secara berperingkat mengikut keperluan dan kemampuan peruntukan, termasuk penambahbaikan dewan makan serta kemudahan lain yang memerlukan perhatian.
Billy berharap kedua-dua projek tersebut dapat dilaksanakan mengikut spesifikasi dan tempoh yang ditetapkan agar manfaatnya dapat dinikmati oleh pelajar, guru serta seluruh warga sekolah, sekali gus memperkukuh ekosistem pendidikan di kawasan Opar.
Beliau juga akan terus bekerjasama rapat dengan Pejabat Pendidikan Daerah serta pihak sekolah bagi mengenal pasti keperluan infrastruktur di setiap sekolah dalam kawasan Opar supaya bantuan pembangunan dapat disalurkan secara lebih berkesan. -EDISI UKAS