Blok Baharu Sekolah St. Joseph Lambang Pelaburan Strategik Pendidikan Sarawak
KUCHING: Pembukaan blok sambungan baharu Sekolah Swasta St. Joseph menjadi manifestasi komitmen berterusan Kerajaan Sarawak memperkukuh sektor pendidikan sebagai pemangkin utama pembangunan modal insan dan kemajuan negeri menjelang 2030.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, pelaburan dalam pendidikan bukan sekadar membangunkan prasarana, malah merupakan pelaburan strategik jangka panjang bagi melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan mampu memenuhi keperluan ekonomi masa depan.
Menurut beliau, pembukaan blok baharu itu turut mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap pendidikan sebagai asas penting dalam membentuk masa depan rakyat dan memperkukuh daya saing Sarawak.
"Setiap bilik darjah yang dibina hari ini membuka peluang kepada generasi akan datang, manakala setiap pelaburan dalam pendidikan adalah pelaburan kepada rakyat dan masa depan Sarawak,” katanya ketika berucap semasa Majlis Perasmian Sambungan Blok Bangunan Baharu Sekolah Swasta St. Joseph pada Selasa.
Beliau menambah, pembangunan modal insan berkualiti kini menjadi keutamaan memandangkan Sarawak sedang mengorak langkah ke arah ekonomi berasaskan inovasi yang dipacu sektor tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, pembuatan maju dan bioteknologi.
Katanya, kejayaan agenda pembangunan negeri tidak hanya bergantung kepada kemajuan teknologi, sebaliknya memerlukan bakat, kepakaran dan keupayaan rakyat untuk merealisasikan aspirasi tersebut.
"Tiada strategi pembangunan yang akan berjaya tanpa bakat dan keupayaan rakyat. Teknologi mungkin mempercepatkan pertumbuhan, tetapi manusia yang menentukan kejayaan Sarawak,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau menegaskan sistem pendidikan perlu terus diperkasakan dengan memberi penekanan terhadap pembangunan menyeluruh merangkumi kecemerlangan akademik, pemikiran kritis, kreativiti, kepimpinan serta pembentukan sahsiah dan nilai murni.
Beliau turut mengiktiraf sumbangan institusi pendidikan swasta seperti Sekolah Swasta St. Joseph dalam melengkapkan ekosistem pendidikan Sarawak menerusi usaha melahirkan generasi yang berdisiplin, berintegriti dan berdaya saing.
Blok sambungan baharu itu dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk bilik darjah pintar, makmal sains, ruang pembelajaran multimedia, kemudahan seni persembahan serta perpustakaan yang dipertingkatkan bagi menyokong proses pembelajaran yang lebih interaktif dan berteraskan inovasi.
Turut hadir, Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Dato Georgina Apphia Ngau; Archbishop Dato Dr Simon Poh serta tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS