KMKK Pemudah Cara Kepada Perhubungan Masyarakat, Kerajaan
SERIAN: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu memainkan peranan sebagai pemudah cara yang menghubungkan kerajaan dengan masyarakat bagi memastikan setiap dasar, program dan perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan secara berkesan di peringkat akar umbi.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, peranan KMKK pada masa kini bukan sekadar memegang jawatan, sebaliknya memikul amanah besar sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat.
"Saya menyeru semua KMKK supaya terus meningkatkan profesionalisme, integriti serta pengetahuan berkaitan prosedur dan peraturan yang melibatkan fungsi statutori agar dapat memenuhi harapan masyarakat yang semakin mencabar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penangguhan Program Pemantapan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Serian: Fungsi Statutori di Dewan Panggah, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian, pada Selasa.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara KMKK, Pejabat Daerah dan jabatan-jabatan kerajaan dalam memastikan pembangunan Daerah Serian dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, inklusif dan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.
Menyentuh mengenai perkembangan teknologi, Dato Sri Roland memberitahu, KMKK perlu bersedia memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepat penyampaian maklumat, menyelaras komunikasi dengan penduduk, mengurus data komuniti serta menyampaikan hebahan kerajaan dengan lebih pantas dan berkesan.
Program sehari itu menghimpunkan seramai 177 peserta terdiri daripada KMKK di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Serian dan Pejabat Daerah Kecil Balai Ringin.
Sepanjang program, peserta mengikuti enam sesi taklimat meliputi pendidikan dan pembangunan modal insan, tugas serta tanggungjawab KMKK, penyeliaan mahkamah, pengurusan lesen senapang patah, akuan berkanun (Statutory Declaration), selain pendaftaran nama-nama perniagaan serta urusan probate dan surat kuasa mentadbir.
Hadir sama, Residen Bahagian Serian Mackos Sibong, Pegawai Daerah Serian Inting Nyami dan Temenggong Bidayuh Bahagian Serian Henry Bujang Sendan. -EDISI UKAS