Padi Perennial Kuala Baram Tunjuk Prestasi Memberangsangkan, Tuaian Sulung 6 Ogos
MIRI: Percubaan pertama penanaman padi varieti perennial di Sarawak di Kuala Baram menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan apabila dijadualkan memasuki tuaian sulung pada 6 Ogos depan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, enam plot percubaan telah dibangunkan di kawasan itu dengan prestasi tanaman setakat ini memenuhi jangkaan.
Menurut beliau, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijangka hadir menyempurnakan tuaian pertama padi berkenaan.
“Tanaman yang ditinjau hari ini hanya mengambil masa kira-kira dua setengah bulan untuk mencapai tahap matang dan sedia dituai.
“Dua setengah bulan lalu kita datang tanam padi ini, hari ini pun sudah boleh potong.
“Saya sudah rasa bijinya dan rasanya sedap, tetapi kita masih perlu buat penilaian kerana ada beberapa sampel perlu melalui ujian rasa terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke plot percubaan padi varieti perennial milik Borneoland Paddy Sdn Bhd di Kuala Baram, di sini pada Selasa.
Sementara itu jelasnya, antara petunjuk awal yang positif ialah pertumbuhan tanaman yang seragam serta keupayaan varieti tersebut menyesuaikan diri dengan keadaan iklim dan tanah tempatan.
“Yang paling penting ialah pokok ini dapat hidup di sini. Seterusnya kita lihat hasilnya, dan yang ketiga sama ada kita boleh perluaskan tanaman di kawasan lain termasuk di Jemoreng,” katanya.
Dato Sri Dr Stephen turut memaklumkan projek tersebut merupakan kerjasama penyelidikan antara Kerajaan Sarawak dengan Universiti Yunnan, China yang melibatkan 30 varieti padi perennial bagi mengenal pasti satu atau dua varieti paling sesuai untuk ditanam di negeri ini.
Katanya, sekiranya percubaan itu berjaya, pengeluaran benih akan dilaksanakan di Sarawak mengikut protokol biosekuriti sebelum diperluaskan kepada petani, termasuk menerusi pelaksanaan pertanian kontrak.
Mengulas lanjut, beliau berkata padi perennial merupakan varieti baharu yang pertama kali diuji di Sarawak dan berpotensi menghasilkan sehingga empat tuaian setahun selepas tanaman matang, sekali gus mampu meningkatkan produktiviti industri padi negeri.
Beliau turut memaklumkan penyelidikan bagi meningkatkan hasil padi bukit sedang giat dijalankan sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang kerajaan untuk memperkukuh pengeluaran beras Sarawak dan meningkatkan tahap sara diri makanan negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Kerajaan Sarawak akan menubuhkan Lembaga Padi dan Beras Sarawak bagi menyelaras pembangunan industri padi dan beras negeri secara lebih menyeluruh.
Bagaimanapun, jelas beliau, penubuhan lembaga tersebut bukan bertujuan mengambil alih peranan Bernas, sebaliknya melengkapkan ekosistem sedia ada, termasuk meneliti kemungkinan mewujudkan kuota khas bagi pengeluaran beras Sarawak.
Hadir sama Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Ismail, Residen Bahagian Miri, Galong Luang, Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat serta Pengarah Borneoland Paddy Sdn Bhd, Datu Hii King Chiong. -EDISI UKAS