Sibu Tuan Rumah RSAWIT International Marathon 2026, Sasar 5,000 Pelari
SIBU: Bahagian Sibu bakal menjadi tuan rumah RSAWIT International Marathon 2026 pada 22 November depan di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1 dan Fasa 2 dengan sasaran penyertaan seramai 5,000 pelari dari dalam dan luar negara.
Timbalan Residen Bahagian Sibu, Christopher Ranggau Unting berkata, penganjuran maraton berkenaan merupakan hasil kerjasama Rimbunan Sawit Berhad (RSB) dan Sibu Divisional Tourism Task Group (DTTG) Sibu, manakala City Jogger’s Club (CJC) bertindak sebagai penasihat teknikal bagi aspek pengurusan perlumbaan.
Menurut beliau, RSAWIT International Marathon 2026 mencatat sejarah tersendiri apabila dinaik taraf daripada RH Half Marathon 2025 kepada penganjuran maraton berskala penuh.
“Maraton ini bertujuan menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa, menggalakkan gaya hidup sihat serta penyertaan komuniti, di samping memberi limpahan ekonomi kepada perniagaan tempatan dan pihak berkepentingan,” katanya pada sidang media RSAWIT International Marathon 2026 di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, acara tersebut menawarkan empat kategori perlumbaan iaitu 42 kilometer (km) Full Marathon, 21km Half Marathon, 10km Competitive Run dan 3km Fun Run.
Katanya, kategori 42km akan dilepaskan pada pukul 12 tengah malam 22 November, diikuti 21km pada pukul 3 pagi, 10km pada pukul 5 pagi dan 3km Fun Run pada pukul 6 pagi, dengan masa penamat rasmi ditetapkan pada pukul 7 pagi.
Tambah beliau, maraton itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM261,000 membabitkan kategori antarabangsa dan kebangsaan bagi kelas terbuka serta veteran, termasuk hadiah utama RM10,000 bagi kategori 42km Full Marathon International Open.
Setiap peserta berdaftar akan menerima baju rasmi acara dan nombor bib, manakala peserta yang menamatkan perlumbaan akan menerima pingat penamat serta sijil elektronik.
Pengambilan kit perlumbaan akan diadakan di Hotel RH pada 20 hingga 21 November, manakala pendaftaran dibuka sehingga 31 Ogos menerusi platform Checkpoint Spot atau BiiB.
Christopher turut mengalu-alukan penyertaan pelari dari dalam dan luar negara serta berharap sokongan masyarakat, khususnya warga Sibu, dapat membantu menjayakan penganjuran RSAWIT International Marathon 2026.- EDISI UKAS