Borneo Raft Safari Diperkasa Sebagai Produk Eko-Pelancongan Bertaraf Dunia
KUCHING: Borneo Raft Safari akan terus diperkasakan sebagai produk eko-pelancongan ikonik Sarawak menerusi pelaksanaan platform yang meningkatkan profesionalisme penganjuran perlumbaan rakit buluh tradisional, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi dan warisan budaya.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, platform tersebut diwujudkan bagi menyeragamkan standard penganjuran perlumbaan rakit buluh di seluruh Sarawak melalui sistem pendaftaran dalam talian bersepadu, perlindungan insurans liabiliti awam, penjenamaan acara, promosi yang lebih meluas serta penyampaian acara bertaraf antarabangsa.
“Perlumbaan ini jauh lebih daripada sekadar acara sukan. Ia meraikan sungai-sungai kita, memelihara warisan budaya, mengukuhkan hubungan komuniti serta mewujudkan peluang ekonomi yang bermakna kepada masyarakat luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Borneo Raft Safari 2026 di Bangunan Baitulmakmur, Kuching pada Selasa.
Menurut beliau, empat acara telah disahkan menyertai Borneo Raft Safari League tahun ini iaitu Mulu Eco Challenge, Selangau Raft Safari, Mukah Raft Safari dan Padawan Raft Safari, yang dijangka menarik penyertaan lebih ramai peserta serta meningkatkan pergerakan pelancong ke pelbagai destinasi di Sarawak.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menyasarkan pembentukan rangkaian perlumbaan rakit buluh tradisional melibatkan Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia bagi memperkukuh kerjasama pelancongan serantau, menggalakkan pelancongan rentas sempadan serta mempromosikan Borneo sebagai destinasi eko-pengembaraan yang unik di Asia Tenggara.
Sementara itu, Pengarah Perlumbaan Borneo Raft Safari, Awang Saifeluddin Awangku Karim berkata, keseluruhan hadiah wang tunai yang ditawarkan bagi empat siri Borneo Raft Safari League tahun ini berjumlah lebih RM100,000, dengan jumlah hadiah bagi setiap lokasi berbeza mengikut skala penganjuran.
“Secara keseluruhannya, empat siri Borneo Raft Safari League tahun ini menawarkan hadiah wang tunai melebihi RM100,000,” katanya.
Turut hadir ialah wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dr Elena Gregory Chai; Pengerusi Penganjur Karnival Selangau 2026, Kaunselor Minggu Angga; Pengerusi Penganjur Padawan Raft Safari, Kaunselor Tito Grabo; serta Pengarah Perlumbaan Borneo Raft Safari, Awang Saifeluddin Awangku Karim.- EDISI UKAS