TYT Sarawak Selamat Tiba Di Brunei Darussalam Sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Brunei Ke-80
BANDAR SERI BEGAWAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar selamat tiba di negara Brunei Darussalam pada Selasa bagi menghadiri beberapa majlis dan istiadat rasmi sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-80.
Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi yang diiringi isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi tiba pada jam 12.10 tengah hari selepas berlepas dari Terminal Hornbill Skyways, Kuching.
Turut mengiringi keberangkatan beliau ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama isteri, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud.
Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II Negara Brunei Darussalam, Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Halbi Md. Yussof bersama beberapa pemimpin kanan kerajaan dan pasukan keselamatan negara itu.
Sejurus tiba, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi diberikan penghormatan memeriksa Kawalan Kehormatan Diraja Brunei sebelum berangkat ke penginapan rasmi.
Keberangkatan Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi serta rombongan ke Brunei adalah atas jemputan rasmi Kerajaan Negara Brunei Darussalam, sekali gus mencerminkan hubungan persahabatan yang erat serta kerjasama kukuh yang sekian lama terjalin antara Sarawak dan negara jiran itu.-EDISI UKAS