Pembesaran Ladang Jagung Labak Tungan Perkukuh Keterjaminan Makanan Sarawak
SERIAN: Projek pembesaran Ladang Jagung Bijian Kampung Labak Tungan di bawah Projek Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) Fasa 2 dijangka meningkatkan pengeluaran jagung di Daerah Serian sekali gus memperkukuh agenda keterjaminan makanan dan mengurangkan kebergantungan Sarawak terhadap import makanan ternakan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben berkata, pelaksanaan projek tersebut bukan sahaja akan meningkatkan hasil pengeluaran jagung, malah memberi impak positif kepada pembangunan sektor pertanian serta menjana pendapatan komuniti setempat.
"Ladang ini berpotensi menjadi antara pemangkin utama kepada peningkatan pengeluaran jagung di Serian, sekali gus menyokong usaha kerajaan memperkukuh keterjaminan makanan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Ladang Jagung Bijian Kampung Labak Tungan di sini, pada Selasa.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, projek pembesaran ladang di bawah GKCDA Fasa 2 melibatkan peruntukan sebanyak RM3.5 juta.
Menurutnya, kerajaan turut memperuntukkan RM7.6 juta bagi pembinaan jalan akses dan sebuah pusat pengumpulan hasil jagung untuk memperkukuh operasi ladang serta memudahkan pemasaran hasil pertanian, dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai agensi pelaksana.
Katanya, ladang berkenaan kini meliputi keluasan 6.13 hektar bagi Fasa 1 dan hanya mampu menghasilkan dua musim tuaian setahun.
"Dengan pembesaran kawasan penanaman serta penyediaan infrastruktur baharu, pengeluaran jagung dijangka meningkat sekali gus menyokong pembangunan ekonomi luar bandar dan agenda keterjaminan makanan Sarawak," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sehingga Mei 2026, Sarawak telah membelanjakan kira-kira RM160 juta bagi import bahan makanan ternakan, manakala sepanjang tahun 2025, perbelanjaan untuk mengimport bijirin dan makanan haiwan mencecah RM429 juta.
Menurutnya, sekiranya projek pembesaran Ladang Jagung Kampung Labak Tungan berjaya dan diperluaskan ke kawasan lain pada masa hadapan, ia berpotensi mengurangkan kebergantungan Sarawak terhadap makanan ternakan import sehingga 30 peratus, sekali gus menjimatkan perbelanjaan negeri dan memperkukuh rantaian bekalan makanan tempatan.-EDISI UKAS