Persiapan Rapi Kunci Misi Sarawak Pertahan Gelaran Juara SUKMA 2026
KUCHING: Sarawak berada di landasan terbaik untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor, namun persiapan rapi dan disiplin tinggi tetap menjadi keutamaan bagi menghadapi saingan yang dijangka lebih sengit.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, status sebagai juara bertahan tidak boleh dijadikan alasan untuk berasa terlalu yakin, sebaliknya perlu terus memperkemaskan persiapan bagi memastikan kontinjen Sarawak tampil pada tahap terbaik.
“Setakat ini persiapan kita berjalan dengan baik. Walaupun kita merupakan juara bertahan, kita tidak menganggap diri kita sempurna. Kita perlu membuat persiapan yang rapi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Borneo Raft Safari 2026 di Bangunan Baitulmakmur di sini, pada Selasa.
Beliau menambah, keyakinan itu disandarkan kepada komitmen Perbadanan Sukan Sarawak, Ketua Kontinjen SUKMA Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu serta semua persatuan sukan yang giat memperkemaskan persiapan atlet.
Jelasnya, sebahagian atlet Sarawak kini masih menjalani latihan di luar negara sebagai fasa akhir persiapan sebelum beraksi pada temasya berkenaan bulan depan.
Bagaimanapun, beliau mengakui misi mempertahankan kejuaraan bukan sesuatu yang mudah memandangkan Selangor selaku tuan rumah merupakan antara kontinjen paling berjaya dalam sejarah penganjuran SUKMA.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim mengingatkan atlet Sarawak supaya menjadikan semangat mengharumkan nama negeri sebagai motivasi utama dan bukan semata-mata mengejar ganjaran kewangan.
“Kita tidak mahu atlet hanya berlari, berenang dan bertanding sambil memikirkan soal wang. Kita mahu mereka menang demi Sarawak serta merasai kepuasan menjadi juara kerana itulah yang akan membentuk karakter mereka,” katanya.
Beliau menegaskan, kejayaan yang dicapai hasil usaha, disiplin dan semangat juang bukan sahaja membanggakan Sarawak, malah membentuk jati diri serta karakter atlet sebagai wakil negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pelancaran maskot rasmi Sukan SEA yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Ahad lalu berjalan lancar, dengan maskot serta identiti rasmi temasya itu akan turut dipromosikan di Sarawak memandangkan negeri ini merupakan antara tuan rumah bersama penganjuran Sukan SEA akan datang.-EDISI UKAS