Kesalinghubungan Pengangkutan Perkukuh Hubungan Strategik Sarawak-Indonesia
KUCHING: Sarawak terus komited memperkukuh hubungan strategik dengan Indonesia menerusi usaha mempertingkatkan kesalinghubungan pengangkutan udara dan darat bagi merancakkan pelancongan, perdagangan, pelaburan serta mempererat hubungan antara rakyat kedua-dua wilayah.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, peningkatan pergerakan rakyat antara Sarawak dan Kalimantan mencerminkan hubungan dua hala yang semakin erat, sekali gus memerlukan sistem pengangkutan yang lebih cekap, lancar dan bersepadu.
“Kementerian Pengangkutan Sarawak akan terus bekerjasama dengan Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching serta pihak berkuasa berkaitan bagi menambah baik kesalinghubungan udara dan darat untuk memudah cara pergerakan rakyat, sekali gus menyokong pertumbuhan sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan antara Sarawak dan Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Dr. Abdullah Zulkifli, di pejabatnya pada Selasa.
Kunjungan tersebut merupakan lawatan rasmi pertama Dr. Abdullah Zulkifli sejak memulakan tugas sebagai Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak membincangkan usaha memperluas rangkaian penerbangan antara Sarawak dengan beberapa bandar utama di Indonesia termasuk Jakarta, Balikpapan dan Pontianak.
Mereka turut bertukar pandangan mengenai usaha menaik taraf kemudahan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan bagi menyokong peningkatan pergerakan rentas sempadan serta merancakkan aktiviti perdagangan dan ekonomi.
Lee turut merakamkan penghargaan kepada Konsulat Jeneral Republik Indonesia atas kerjasama erat yang terjalin dan menyatakan keyakinan bahawa hubungan strategik antara Sarawak dan Indonesia akan terus diperkukuh demi manfaat bersama.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Datu Wong Hee Sieng bersama pegawai kanan kementerian.-EDISI UKAS