Raptai SMeC 2026 Lancar, Persiapan Akhir Diperkemas
KUCHING: Persiapan menjelang Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026 memasuki fasa akhir apabila raptai penuh yang berlangsung di Hotel Pullman di sini pada Selasa berjalan lancar.
Raptai tersebut diadakan bagi menyelaras keseluruhan perjalanan persidangan, merangkumi aspek teknikal, protokol, pengurusan pentas serta pengisian program bagi memastikan kelancaran penganjuran pada 16 Julai ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol turut meninjau raptai berkenaan bagi memastikan semua persiapan berada pada tahap terbaik dan mengikut perancangan.
Hadir sama, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan dan Timbalannya, Mohamed Faizal
Shah Ali yang turut sama meninjau persiapan tersebut.
SMeC 2026 dijangka menghimpunkan pengamal media, wakil agensi kerajaan, pemain industri komunikasi serta pelbagai pihak berkepentingan bagi membincangkan isu semasa, cabaran dan hala tuju industri media dalam era digital.
Perasmian SMeC 2026 akan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 16 Julai ini.
Manakala majlis makan malam Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Peringkat Sarawak 2026 dijangka dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof.
Penganjuran SMeC 2026 dan sambutan HAWANA di Sarawak mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem media yang profesional, berintegriti dan berdaya tahan, selaras dengan perubahan landskap komunikasi digital serta perkembangan teknologi masa kini.-EDISI UKAS