Budaya Integriti Asas Penyampaian Perkhidmatan Awam
LIMBANG: Budaya integriti perlu menjadi asas dalam setiap aspek penyampaian perkhidmatan awam bagi memastikan pentadbiran kerajaan terus cekap, telus, berakauntabiliti serta mendapat kepercayaan rakyat.
Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi berkata Hari Integriti bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi platform penting untuk memperbaharui iltizam dalam memperkukuhkan budaya integriti, meningkatkan akauntabiliti serta memperkasakan tadbir urus yang baik dalam penyampaian perkhidmatan awam.
"Hari Integriti bukan sekadar satu acara tahunan, malah merupakan platform penting untuk kita memperbaharui iltizam dalam memperkukuhkan budaya integriti, meningkatkan akauntabiliti serta memperkasakan tadbir urus yang baik dalam penyampaian perkhidmatan awam," katanya semasa menyampaikan Amanat Integriti sempena Hari Integriti Pentadbiran Bahagian Limbang 2026 pada Selasa.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak sentiasa menegaskan bahawa pembangunan mampan bukan hanya bergantung kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan fizikal, malah turut dipacu oleh sistem pentadbiran yang cekap, telus, berintegriti dan berakauntabiliti selaras dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur 2030 (PCDS 2030).
“Integriti bukan sekadar nilai moral, bahkan merupakan aset strategik dalam memastikan pentadbiran kerajaan sentiasa diyakini, dihormati dan mampu memenuhi harapan rakyat,’’ jelasnya.
Tambah beliau, pembudayaan integriti dalam organisasi akan memastikan setiap dasar dilaksanakan dengan berkesan, setiap peruntukan diurus secara berhemah, setiap projek dipantau secara telus dan setiap perkhidmatan yang disampaikan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa setiap penjawat awam memikul amanah besar untuk melaksanakan tugas secara adil, telus dan berpandukan undang-undang serta kepentingan awam, selain sentiasa menolak rasuah, salah guna kuasa dan sebarang bentuk penyelewengan.
Tegasnya, Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diadakan bukan sekadar memenuhi protokol, sebaliknya merupakan komitmen bersama yang perlu diterjemahkan melalui tindakan harian dan budaya kerja.
"Marilah kita sama-sama membina sebuah organisasi yang mengamalkan budaya 'Zero Tolerance Towards Corruption', mengutamakan integriti dalam setiap tindakan, memperkukuhkan akauntabiliti, meningkatkan profesionalisme dan sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.
Justeru, beliau berharap kerjasama strategik antara Pentadbiran Bahagian Limbang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta semua jabatan akan terus diperkasakan menerusi pelbagai program kesedaran, pendidikan dan pencegahan rasuah bagi memastikan budaya integriti terus subur dalam perkhidmatan awam.
Hadir sama, Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Cotilla Louise, Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal, Ketua Cawangan SPRM Cawangan Limbang, Ayahtullah Abdulla Humair serta wakil Pegawai Daerah Lawas, Aminul Fadzrin Abdul Rahim.-EDISI UKAS