1,106 Penduduk Penyarai Nikmati Jambatan Baharu Lebih Selamat
TATAU: Seramai 1,106 penduduk di kawasan Penyarai di sini kini menikmati kemudahan perhubungan yang lebih selamat dan selesa susulan siapnya Projek Bina Baharu Jambatan Penyarai yang dibiayai menerusi Dana Lembaga Kumpulan Wang Kawasan Konsesi Hutan (LKWKKH).
Majlis penyerahan jambatan tersebut telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, Dato Sri John Sikie Tayai di Jambatan Sungai Penyarai, pada Selasa.
Dalam ucapannya, Dato Sri John Sikie berkata pembinaan jambatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menyediakan infrastruktur berkualiti khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.6 juta bagi kerja-kerja gantian Jambatan Sungai Maing di Penyarai yang kini dalam proses perolehan, selain penyelenggaraan Jalan Sungai Penyarai melalui peruntukan Malaysia Road Record Information System (MARRIS).
Menurut beliau, peningkatan hasil pendapatan negeri yang mencecah RM13.5 bilion tahun lalu membolehkan lebih banyak projek pembangunan dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat, termasuk di kawasan Kakus melalui pelbagai inisiatif agensi seperti Bintulu Rural Development Committee (BIRDCOM).
Antara perancangan lain ialah menaik taraf jalan ke Penyarai serta cadangan pelaksanaan skim tanaman padi bagi meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk.
Turut hadir Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti, Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong Bujang @ Endawie, wakil Jurutera Bahagian JKR Bintulu, Joseph Tyran, Timbalan Pegawai Daerah Tatau, Winnie Dian, Pemanca Gerosen Jubin serta Penghulu Sekaya Tulong.-EDISI UKAS