TYT Sarawak Hadiri Istiadat Diraja Brunei, Perkukuh Hubungan Persahabatan Dua Wilayah
BANDAR SERI BEGAWAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menghadiri Majlis Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman, pada Rabu.
Keberangkatan beliau berdua ke majlis tersebut mencerminkan hubungan persahabatan yang erat serta komitmen berterusan Sarawak dan Negara Brunei Darussalam dalam memperkukuh hubungan diplomatik, kebudayaan dan kerjasama strategik yang telah sekian lama terjalin.
Turut mengiringi keberangkatan ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Majlis istiadat itu diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-80.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah berpeluang mengadap serta menyembahkan ucapan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan Baginda.
Keberangkatan TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan ke majlis tersebut sekali gus melambangkan hubungan akrab yang terus diperkukuh antara Sarawak dan Negara Brunei Darussalam, selain mempererat silaturahim serta membuka ruang kepada kerjasama yang lebih erat demi kepentingan bersama pada masa hadapan. -EDISI UKAS