BCCK Kini Tapak 5G Pertama Sarawak, Perkukuh Keupayaan Acara Digital
KUCHING: Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) muncul sebagai lokasi pertama di Sarawak dengan liputan 5G dalaman secara langsung menerusi penyelesaian in-building coverage (IBC), sekali gus memperkukuh peranannya sebagai hab acara berteknologi tinggi di rantau ini.
Liputan rangkaian ULTRA5G itu merangkumi lebih 3,740 meter persegi dan mampu menyediakan sambungan internet berkelajuan tinggi serta stabil, termasuk ketika acara berskala besar dengan kepadatan pengguna yang tinggi.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata kejayaan pelaksanaan di BCCK 1 diharap dapat diperluaskan ke BCCK 2 apabila projek itu siap kelak.
Menurut beliau, keperluan kepada teknologi 5G amat penting khususnya bagi menyokong industri acara dan operasi berskala besar.
“Berdasarkan ujian kelajuan yang ditunjukkan, perbezaan antara 4G dan 5G sangat ketara. Jika 4G sekitar 200 megabit sesaat, 5G mampu mencecah lebih 1,100 megabit sesaat, jauh lebih pantas,” katanya ketika ditemui sempena Borneo International Water and Wastewater Exhibition and Conference (BIWWEC) 2026 di sini, pada Rabu.
Tambah beliau, kemudahan itu boleh disediakan bagi memenuhi keperluan masa depan BCCK 2 sekiranya pihak pengurusan memerlukan sambungan berkelajuan tinggi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Demanlink Connexion Sdn Bhd, Hanad Yusuf berkata, pelaksanaan ini menjadi asas penting dalam menyokong pertumbuhan industri acara perniagaan Sarawak yang dijangka menjana impak ekonomi besar.
Inisiatif ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Kuching dan Sarawak sebagai destinasi utama acara perniagaan antarabangsa yang moden dan berdaya saing, katanya.-EDISI UKAS