Program Semarak Kemerdekaan perkukuh patriotisme, perpaduan masyarakat di Krian
SARATOK: Program Semarak Kemerdekaan Bahagian Betong 2026 berjaya menghimpunkan kira-kira 250 peserta di Dewan Komuniti Masyarakat Kaki Wong, Krian sebagai platform menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan masyarakat serta mempererat hubungan antara rakyat dan agensi kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, kejayaan penganjuran program pada Selasa itu membuktikan wujudnya kerjasama erat serta semangat perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat setempat.
Beliau berkata, masyarakat perlu terus menghayati erti kemerdekaan dan menghargai pengorbanan pemimpin terdahulu yang telah berjuang demi kebebasan negara, selain memastikan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum terus diperkasakan.
Menurutnya, generasi muda juga perlu didedahkan dengan sejarah Hari Sarawak, Hari Kebangsaan dan pembentukan Malaysia supaya mereka memahami nilai kemerdekaan serta bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara.
Mengulas mengenai pembangunan negeri, beliau menegaskan kestabilan politik Sarawak menjadi asas kepada pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dan bantuan yang dinikmati rakyat ketika ini.
Tambah beliau, hala tuju pembangunan negeri menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) memberi penekanan kepada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar, termasuk pembangunan ekonomi hijau berasaskan tenaga solar, hidroelektrik dan hidrogen.
Sementara itu, Pegawai UKAS Bahagian Betong, Tony Malang Chabu yang hadir sama berkata Program Semarak Kemerdekaan merupakan program tahunan UKAS yang dilaksanakan di seluruh Sarawak bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, pemilihan Daerah Saratok khususnya kawasan DUN Krian sebagai lokasi penganjuran tahun ini turut menjadi platform untuk menyampaikan maklumat kerajaan, mengenal pasti keperluan masyarakat serta memperkukuhkan kerjasama antara komuniti dan agensi kerajaan.
Dalam pada itu, Penghulu Josephine Entira merakamkan penghargaan kepada UKAS Bahagian Betong, Pusat Khidmat ADUN Krian, Pejabat Daerah Saratok dan semua pihak yang menjayakan program tersebut.
Beliau turut memohon pertimbangan kerajaan untuk menyalurkan peruntukan bagi kerja-kerja menaik taraf serta penyelenggaraan Dewan Komuniti Masyarakat Kaki Wong demi keselesaan penduduk.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti diadakan bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan termasuk pertandingan mewarna, menyumpit, menghias mi segera secara kreatif, nyanyian lagu patriotik dan tarik tali.
Biro Wanita Lubok Kerukoh muncul juara pertandingan tarik tali kategori wanita, manakala Lubok Kerukoh Warrior menjuarai kategori lelaki.
Turut hadir wakil Pegawai Daerah Saratok Melisa Nasha, Setiausaha Politik Premier Sarawak Brian Fung, Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie, Pegawai Cawangan Penerangan Saratok Florence Sebastian Unting, pengetua-pengetua sekolah, penghulu, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), Community Representative (CR) serta penduduk setempat.- EDISI UKAS