Persidangan Konservasi Perlu Hasilkan Dasar, Bukan Sekadar Wacana
KUCHING: Hasil penyelidikan dan perbincangan dalam persidangan konservasi perlu diterjemahkan kepada dasar serta tindakan yang mampu memberi impak sebenar kepada usaha pemuliharaan biodiversiti dan pembangunan lestari negara.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, kejayaan sesebuah persidangan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah pembentangan akademik atau perbincangan yang berlangsung, sebaliknya melalui pelaksanaan dasar, pengukuhan kerjasama strategik dan hasil yang dapat diukur.
Menurut beliau, penemuan saintifik tidak boleh terus kekal sebagai bahan penerbitan akademik atau prosiding persidangan, malah perlu dimanfaatkan dalam penggubalan dasar awam, perancangan konservasi, tadbir urus alam sekitar serta pembangunan mampan demi manfaat masyarakat dan alam semula jadi.
“Anda boleh bercakap apa sahaja yang anda mahu, selama mana yang anda mahu, tetapi jika ia tidak diterjemahkan kepada dasar dan diluluskan melalui proses yang sewajarnya, sama ada di peringkat Kabinet, Dewan Undangan Negeri atau Parlimen, ia tetap hanya menjadi satu usaha akademik.
“Oleh itu, anda perlu meyakinkan para pembuat dasar bahawa idea anda boleh dilaksanakan, bersifat pragmatik dan mampan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan ‘Malaysia Conservation Conference’ (MCC) 2.0 di sebuah hotel di sini, pada Rabu.
Pada masa sama, beliau berharap persidangan berkenaan dapat menghasilkan resolusi saintifik serta cadangan dasar yang komprehensif untuk dijadikan pelan tindakan berterusan, bukannya sekadar dokumen persidangan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar satu mekanisme pemantauan diwujudkan bagi menilai pelaksanaan setiap resolusi supaya pencapaian dapat diukur, dilaporkan dan ditambah baik pada persidangan akan datang.
Mengulas lanjut, Datuk Len Talif turut mengiktiraf peranan penting masyarakat pribumi dan komuniti tempatan yang terus menyumbang melalui pengetahuan tradisional serta pengurusan hutan, sungai dan ekosistem yang melengkapi amalan konservasi moden.
Beliau berkata, walaupun isu konservasi bermula di peringkat tempatan, kesannya memberi implikasi besar kepada komuniti antarabangsa.
“Isu pemuliharaan mungkin bersifat tempatan, tetapi ia mempunyai implikasi di peringkat antarabangsa.
“Sebab itulah, walaupun Sarawak hanyalah satu titik kecil di peta dunia atau Malaysia merupakan sebuah negara yang kecil, impak daripada apa yang kita lakukan mempunyai kesan global,” ujar beliau lagi.
Turut hadir, Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation (SFC) Abang Arabi Abang Aimran, Timbalan Pengarah (Konservasi) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) Dato Fakhrul Hatta Musa, Pengarah Sabah Parks Datuk Dr Maklarin Lakim, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Mohd Soffian Abu Bakar serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS