Sarawak Space Challenge 2026 perkasa pembangunan bakat, lahir generasi kompetitif peringkat global
KUCHING: Sarawak Space Challenge 2026 perkasa pembangunan bakat, lahir generasi kompetitif peringkat global terus memperkukuh agenda pembangunan bakat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) apabila menyasarkan penyertaan 6,500 peserta tahun ini sebagai persediaan melahirkan generasi muda yang berdaya saing di peringkat global.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, inisiatif yang diterajui kementeriannya itu merupakan antara usaha strategik kerajaan negeri untuk membangunkan modal insan selaras aspirasi menjadikan Sarawak sebuah negeri berpendapatan tinggi.
“Pendidikan adalah kunci untuk mentransformasikan Sarawak menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi. Sebab itu kita menyediakan pendidikan tinggi percuma di Sarawak dan pelbagai lagi inisiatif pembangunan bakat. Melalui program seperti Sarawak Space Challenge, kita memastikan belia kita bersedia untuk bersaing di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sarawak Space Challenge 2026 di Swinburne University of Technology Sarawak, di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, program yang sebelum ini dikenali sebagai NASA Space Apps Sarawak merupakan inisiatif kementerian bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai sains bumi dan angkasa lepas menerusi penyertaan dalam NASA International Space Apps Challenge, hackathon terbesar dunia yang mendapat sokongan pakar NASA dari Amerika Syarikat.
Sepanjang empat tahun penganjurannya, program tersebut telah menarik penyertaan lebih 18,000 individu, manakala sebanyak 50 siri jelajah sekolah akan dilaksanakan tahun ini bagi memperluaskan penyertaan dalam kalangan pelajar di seluruh Sarawak.
Dato Sri Roland Sagah turut mengalu-alukan penyertaan dua rakan kolaborasi baharu, iaitu OCI TerraSus Sdn Bhd dan Pustaka Negeri Sarawak, yang akan bersama-sama rakan strategik sedia ada termasuk Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Sarawak Multimedia Authority (SMA), Realfun Academy, SOL Digital, Curtin University Malaysia, University of Technology Sarawak (UTS), i-CATS University College, Sarawak Science Centre dan Swinburne University of Technology Sarawak menjayakan program berkenaan.
Hackathon Sarawak Space Challenge 2026 dijadual berlangsung pada 14 hingga 15 November di empat lokasi iaitu Kuching, Sibu, Miri dan buat julung kalinya di Bintulu.
Lokasi penganjuran melibatkan Makeramai Makerspace SDEC di Plaza Merdeka, University of Technology Sarawak (UTS) di Sibu, Pustaka Miri serta lokasi baharu di Bintulu yang disokong oleh OCI TerraSus.
Pendaftaran bagi menyertai Sarawak Space Challenge 2026 kini dibuka kepada orang ramai, dengan peserta berpeluang memperoleh bimbingan mentor, maklum balas daripada panel juri serta pengalaman menyelesaikan cabaran dunia sebenar melalui platform inovasi bertaraf antarabangsa.
Turut hadir Ketua Bahagian Inovasi yang mewakili Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Dr. Cheong Yaw Liang, General Manager, Innovation & Entrepreneurship Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Cletus Lee Aik Yew, Pemangku Naib Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Prof. Ir. Ts. Dr. Mohammad Shahril Osman serta Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid yang mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Johnny Rasit. - EDISI UKAS