RM447,000 MRP Fasa Kedua disalur kepada 37 persatuan di DUN Belaga
BELAGA: Sebanyak RM447,000 Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa Kedua disalurkan kepada 37 persatuan, termasuk semua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah rendah dan menengah di kawasan DUN Belaga bagi menyokong pelaksanaan program kemasyarakatan, pendidikan, pembangunan belia serta aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Datuk Liwan Lagang berkata, penyerahan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasakan pembangunan komuniti melalui bantuan kewangan kepada persatuan dan organisasi di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, bagi Fasa Pertama sebelum ini, sebanyak RM505,000 telah disalurkan terus ke akaun penerima masing-masing.
“Bantuan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang pula akan disalurkan menerusi Fasa Ketiga selepas proses kelulusan dan pengeluaran peruntukan selesai.
“Semua permohonan telah diproses dan dimasukkan ke dalam sistem,” katanya ketika berucap pada Majlis Simbolik Penyerahan Cek MRP DUN Belaga di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Belaga, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan pesanan daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg agar setiap penerima mengurus dan membelanjakan peruntukan yang diterima secara berhemah, telus dan berintegriti demi kepentingan rakyat serta pembangunan komuniti.
Mengulas mengenai perkembangan Masjid Daerah Belaga, beliau memaklumkan majlis perasmiannya akan diadakan selepas kerja-kerja menaik taraf rumah kediaman imam di kawasan masjid tersebut siap sepenuhnya bagi memastikan semua kemudahan berada dalam keadaan lengkap sebelum dirasmikan.
Hadir sama, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Belaga, Zain Rocky, Temenggong Ajang Sirek, Penghulu Abu Talip Mokthar, Penghulu Jackson Kubang Luring dan Penghulu Peter Hoo.- EDISI UKAS