MCC 2026 Pemangkin Tindakan Bersepadu Perkukuh Pemuliharaan Biodiversiti Negara
KUCHING: Persidangan Pemuliharaan Malaysia 2026 (MCC 2026) perlu menjadi pemangkin kepada pelaksanaan tindakan bersepadu dalam memperkukuh agenda pemuliharaan biodiversiti negara, bukan sekadar platform perkongsian ilmu dan hasil penyelidikan.
Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datu Abdullah Julaihi berkata, setiap dapatan penyelidikan, cadangan serta perkongsian kepakaran yang dibentangkan sepanjang persidangan perlu diterjemahkan kepada dasar, strategi dan tindakan yang mampu memberikan impak jangka panjang terhadap usaha pemuliharaan sumber semula jadi.
Menurut beliau, kejayaan pemuliharaan biodiversiti bergantung kepada komitmen semua pihak untuk melaksanakan tindakan secara kolektif, sekali gus memastikan khazanah alam negara terus terpelihara demi generasi akan datang.
“Persidangan ini tidak seharusnya berakhir dengan pembentangan semata-mata. Apa yang lebih penting ialah bagaimana segala idea, cadangan dan dapatan yang dikongsi dapat diterjemahkan kepada tindakan yang benar-benar memberi manfaat kepada usaha pemuliharaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Makan Malam Alu-aluan Persidangan Pemuliharaan Malaysia (MCC) 2026 di sini pada Selasa.
Tambah beliau, usaha memulihara biodiversiti memerlukan kerjasama strategik yang berterusan melibatkan agensi kerajaan, institusi penyelidikan, universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta serta rakan pembangunan agar kepakaran, sumber dan pengalaman dapat digembleng secara lebih berkesan.
Katanya, MCC 2026 yang menghimpunkan kira-kira 200 delegasi daripada 37 organisasi menjadi platform penting untuk memperkukuh jaringan kerjasama, berkongsi amalan terbaik serta membincangkan penyelesaian terhadap cabaran pemuliharaan biodiversiti yang semakin kompleks.
Beliau turut menegaskan kepentingan memperkukuh mekanisme pembiayaan pemuliharaan (conservation financing) bagi memastikan usaha melindungi biodiversiti, habitat semula jadi dan ekosistem dapat dilaksanakan secara mampan selaras dengan aspirasi pembangunan lestari.
“Kita tidak boleh bergerak secara bersendirian. Setiap organisasi mempunyai kepakaran dan pengalaman yang saling melengkapi. Melalui kerjasama yang kukuh, kita mampu mencapai matlamat bersama dalam memelihara khazanah biodiversiti negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, institusi penyelidikan, universiti, pertubuhan bukan kerajaan, rakan pembangunan serta penaja yang menjayakan MCC 2026, sambil berharap jaringan kerjasama yang terjalin menerusi persidangan itu akan terus diperkasakan bagi menyokong pelaksanaan agenda pemuliharaan biodiversiti negara.
MCC 2026 menghimpunkan penyelidik, penggubal dasar, pengamal industri dan pengurus kawasan perlindungan dari seluruh negara sebagai platform memperkukuh perkongsian pengetahuan, inovasi dan kerjasama dalam memperkasa usaha pemuliharaan biodiversiti Malaysia.-EDISI UKAS