Model AnNaHL Jadi Inspirasi Perkasa Ekonomi Luar Bandar Sarawak Melalui Inovasi & Keusahawanan
KELANTAN: Model ‘Advance National Honey Landmark’ (AnNaHL) Translational Centre, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Kubang Kerian menjadi inspirasi untuk memperkasakan lagi ekonomi luar bandar Sarawak berteraskan inovasi dan keusahawanan.
Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pembangunan ekonomi luar bandar perlu bergerak melangkaui kebergantungan kepada hasil mentah dengan memberi penekanan kepada pembinaan rantaian nilai, penguasaan teknologi serta penghasilan produk bernilai tinggi yang mampu menembusi pasaran lebih luas.
Menurut beliau, kejayaan program itu yang meningkatkan purata pendapatan peserta melebihi 25 peratus menjadi asas keyakinan beliau untuk mengetuai delegasi Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) mengadakan lawatan berkenaan.
"Universiti bukan sekadar pusat penyelidikan, tetapi rakan strategik dalam membangunkan ekonomi komuniti. Apabila hasil penyelidikan dipadankan dengan keperluan rakyat serta disokong kerajaan dan agensi pelaksana, manfaatnya bukan sahaja menghasilkan inovasi, malah membuka peluang ekonomi yang benar-benar mengubah kehidupan masyarakat," katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau, pada Khamis.
Sebagai Pengerusi URDA, beliau berkata pembangunan luar bandar perlu memberi keutamaan kepada usaha membina kapasiti masyarakat melalui penyediaan ilmu, kemahiran, teknologi dan akses pasaran supaya komuniti mampu berdikari serta menjana pendapatan secara mampan.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga apabila beberapa kawasan di Parlimen Kapit dipilih sebagai lokasi pelaksanaan projek berimpak tinggi, termasuk projek madu kelulut di Melatai Selirik dan Kampung Tatai Mas Raweng, projek integrasi penternakan di Nanga Yong, serta pembinaan ‘Upper Rajang Honey Processing & Marketing Centre’ di Song.
Menurut beliau, pusat berkenaan bakal menjadi hab pemprosesan, pemasaran, latihan dan pembangunan industri madu kelulut di Kapit sekali gus memperkukuh rantaian nilai industri tersebut.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan peruntukan RM7 juta daripada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) kepada USM di bawah HICP Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera Sarawak membolehkan seramai 100 peserta Bumiputera daripada kumpulan B40 di Sarawak telah menerima manfaat secara langsung.
Katanya, program itu bukan sahaja berjaya meningkatkan pendapatan peserta kepada sekitar RM3,000 hingga RM7,000 sebulan, malah melahirkan 10 elemen inovasi serta lapan produk hiliran yang kini disokong pensijilan Halal, MeSTI, HACCP dan GMP bagi memperluaskan akses ke pasaran tempatan serta antarabangsa.
Beliau menegaskan impak sedemikian merupakan matlamat sebenar setiap pelaburan kerajaan, iaitu membina keupayaan rakyat untuk berjaya dan bukan sekadar menyiapkan sesuatu projek.
Dalam pada itu, beliau berkata URDA akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam memperkukuh kerjasama antara kerajaan, institusi pengajian tinggi, agensi pembangunan dan komuniti bagi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi di kawasan luar bandar.
"Matlamat kita bukan sekadar menghasilkan lebih banyak madu kelulut, tetapi melahirkan lebih ramai usahawan luar bandar yang mampu menjana pendapatan mampan melalui inovasi dan teknologi," katanya.
Lawatan itu turut disertai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat, Ketua Pegawai Eksekutif RECODA Datuk Haji Ismawi Ismuni dan Residen Bahagian Kapit Elvis Didit. -EDISI UKAS