SMeC 2026 Buka Minda Mahasiswa Hadapi Era AI, Perkukuh Kefahaman Media Sahih
KUCHING: Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026 berjaya memperluas perspektif mahasiswa terhadap peranan kecerdasan buatan (AI), kepentingan penyampaian maklumat yang sahih serta realiti cabaran industri media dalam mendepani transformasi digital yang semakin pesat.
Bagi mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Garreth Mckennie Garna, persidangan itu membuka ruang kepada mahasiswa memahami AI bukan sekadar sebagai teknologi masa depan, malah sebagai alat yang perlu dimanfaatkan secara beretika bagi menyokong pembelajaran dan kerjaya.
"Ia secara langsung menambahkan ilmu saya sedikit sebanyak berkenaan betapa pentingnya revolusi AI ini dan kita sebagai mahasiswa ataupun pelajar perlu mempergunakan AI dengan cara yang betul,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas Pelancaran SMeC 2026 di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, penganjuran SMeC turut memberi peluang kepada mahasiswa memahami cabaran sebenar yang dihadapi industri media, selain meningkatkan kesedaran mengenai peranan AI dalam membentuk landskap komunikasi dan penyampaian maklumat pada masa hadapan.
Sementara itu, mahasiswa UiTM Kota Samarahan, Aina Maisarah Mazlan berkata, persidangan berkenaan memberi pemahaman lebih jelas mengenai usaha membendung penyebaran maklumat palsu serta kepentingan memastikan setiap maklumat yang disampaikan adalah tepat, sahih dan bertanggungjawab.
"Ahli panel turut berkongsi idea dan pandangan tentang bagaimana kita boleh menjadikan media kita lebih berilmu, menyampaikan maklumat yang lebih sahih serta mengelakkan berlakunya salah faham.
"Ini penting kerana media merupakan antara sumber utama masyarakat mendapatkan maklumat,” jelasnya.
Menurut beliau, sesi perkongsian sepanjang persidangan turut memperkukuh kefahaman peserta mengenai pengaruh media terhadap masyarakat, khususnya dalam membentuk pemikiran generasi muda.
Dalam pada itu, mahasiswa UiTM, Alexander Archilless Abbit Henry Guyang menyifatkan SMeC sebagai platform yang memberi peluang kepada mahasiswa memperluaskan jaringan profesional serta mendekati industri media secara lebih menyeluruh.
"SMeC amat membantu membuka mata mahasiswa dalam bidang networking di mana dapat berjumpa dan pelajari lebih lagi tentang media,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa penggunaan AI perlu diseimbangkan dengan kreativiti serta pertimbangan manusia agar teknologi tersebut dapat memperkukuh industri media tanpa menjejaskan nilai profesionalisme dan integriti kewartawanan.
SMeC 2026 menghimpunkan pengamal media, pakar industri, ahli akademik dan mahasiswa bagi membincangkan landskap media yang semakin dipacu kemajuan teknologi, kecerdasan buatan serta keperluan memperkukuh literasi media demi memastikan ekosistem penyampaian maklumat yang lebih berintegriti dan dipercayai. -EDISI UKAS