Media Perlu Kekal Utamakan Ketepatan Bagi Kekalkan Kepercayaan Awam
KUCHING: Media arus perdana perlu terus mengutamakan ketepatan, integriti dan ketelusan dalam penyampaian berita bagi mengekalkan kepercayaan awam, meskipun berdepan tekanan untuk menyampaikan maklumat dengan pantas dalam era digital.
Profesor Pengajian Asia, Universiti Tasmania, Profesor James Chin berkata, kepercayaan terhadap media hanya dapat dibina secara konsisten menerusi pelaporan yang tidak berat sebelah, berintegriti serta berpaksikan kepentingan awam.
“Media arus perdana boleh mewujudkan apa yang saya panggil ‘circle of trust’, tetapi untuk berbuat demikian, terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan secara konsisten.
“Pertama sekali anda perlu memastikan pelaporan sentiasa dilakukan secara tidak berat sebelah, kedua pula individu yang mengendalikan organisasi media mestilah terdiri daripada mereka yang berintegriti tinggi dan diyakini masyarakat.
“Ketiga ialah kompetensi. Pada masa kini, banyak isu semakin sukar untuk dilaporkan, khususnya yang melibatkan aspek teknikal.
“Justeru, media arus perdana perlu tampil dengan laporan yang serius dan setiap laporan mestilah berteraskan kepentingan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi panel yang dimoderasikan oleh Editor Berita Tribune Press Sdn. Bhd., Sarah Hafizah Chandra, sempena Persidangan Media Sarawak (SMEC), di sini, pada Khamis.
Menurut Profesor James, dalam era kecerdasan buatan (AI), masyarakat kini mempunyai keupayaan untuk menyemak dan mengesahkan maklumat dengan pantas, sekali gus menuntut organisasi media menghasilkan laporan yang telus serta boleh disahkan.
Menurutnya, wartawan dan editor juga perlu lebih berhati-hati dalam memastikan ketepatan fakta kerana kesilapan yang disiarkan mampu menjejaskan kredibiliti organisasi media.
Sementara itu, Pengerusi Sarawak Media Group (SMG) Sdn. Bhd., Dato Norhyati Mohd Ismail berkata, landskap kepercayaan terhadap media telah berubah dengan ketara berikutan perkembangan media sosial yang menyaksikan masyarakat tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada institusi media sebagai sumber maklumat.
Beliau berkata, penyebaran maklumat yang pantas melalui pelbagai platform digital turut menyebabkan kepercayaan masyarakat terhadap media semakin terdesentralisasi dan berdepan cabaran akibat lambakan maklumat tidak sahih.
“Keadaan sudah berubah dan perubahan itu nyata. Ia bukan hanya berlaku kepada satu atau dua media, tetapi di seluruh dunia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengasas Kupikupi FM Sabah dan Sarawak, Rita Sim Sai Hoon berkata, peranan media kini bukan sekadar menyampaikan fakta, tetapi menjadi sumber rujukan yang membantu masyarakat menilai kesahihan maklumat di tengah-tengah lambakan kandungan digital.
Katanya, media profesional perlu terus berperanan sebagai penyemak fakta, penyedia konteks dan penyampai maklumat yang boleh dipercayai bagi memastikan kepentingan awam sentiasa terpelihara.
“Kepercayaan awam ialah keyakinan masyarakat bahawa kita bukan sekadar melaporkan fakta, tetapi melakukannya demi kepentingan terbaik orang ramai. Media juga perlu menjadi panduan yang boleh dipercayai dalam lambakan maklumat dan maklumat palsu,” jelas beliau.-EDISI UKAS